Akhbar milik Umno Utusan Malaysia dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari menyelar The Malaysian Insider, mengatakan portal berita itu biadab dan mesra kepada fahaman komunisme.
Kolumnis Ku Seman Ku Hussain hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan kepada The Malaysian Insider yang diluluskan "permit penerbitannya" dan seakan-akan "diberi keistimewaan" untuk bertindak biadab dan menjadi petualang menggugat aspirasi kebangsaan.
"Dalam rencana yang disiarkan pada 20 September ini di bawah tajuk Chin Peng as hero, say former Thai general, Malaysian Insider mewirakan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang membunuh beribu orang awam dan anggota pasukan keselamatan," tulis Ku Seman dalam artikelnya bertajuk Malaysian Insider diberi keistimewaan?.
"Portal ini mesti diambil tindakan bukan kerana menyokong pembangkang. Mereka bebas untuk menyokong fahaman politik tertentu dan kerajaan telah membuktikan sikap yang adil apabila meluluskan permit penerbitannya," tambahnya.
Menurut Ku Seman, The Malaysian Insider melakukan pembohongan dengan memutarbelitkan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Utusan 13 September lalu.
"Najib menyeru supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan berlaku adil kepada Kumpulan Utusan dari segi pembelian iklan.
"Tetapi Malaysian Insider melaporkan Najib meminta GLC membantu membayar saman-saman fitnah terhadap Kumpulan Utusan," katanya.
Menurut Ku Seman, The Malaysian Insider menyalahgunakan dasar kerajaan yang lebih terbuka kepada media.
"Hingga kini janji pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat belum ditunjukkan.
"Kalau menyiasat apakah hasil siasatan itu? Kenapa mengambil masa yang terlalu lama seolah-olah menunggu kucing bertanduk baru hendak tampil dengan hasil siasatan?" soal beliau.
Ku Seman turut mempersoalkan liputan The Malaysian Insider semasa tercetusnya kontroversi kalimah Arab Allah dan mendakwa portal berita itu melaga-lagakan umat Islam dan Kristian.
"Ketika tercetusnya isu kalimah Allah yang mahu digunakan dalam Bible bahasa Melayu, pihak Jabatan Agama Islam mengeluarkan khutbah Jumaat yang menyeru supaya umat Islam memelihara kesucian kalimah itu.
"Tetapi Malaysian Insider bertindak biadab dengan menyiarkan bantahan daripada paderi Kristian terhadap khutbah Jumaat berkenaan. Bukankah ini bertujuan melaga-lagakan antara Islam dan bukan Islam di negara ini?" katanya.
Ku Seman turut mengatakan The Malaysian Insider tidak pernah menghentam dasar-dasar cauvinis Cina dalam pembangkang.
"Malaysian Insider mesti membezakan antara sokongan kepada fahaman politik tertentu dengan aspirasi kebangsaan.
"Yang ditunjukkan oleh Malaysian Insider selama ini adalah bertentangan dengan aspirasi kebangsaan terutama dalam isu orang Melayu dan agama Islam," katanya. ~
the malaysian insider
0 Response to "Utusan Serang Portal Berita Malaysian Insider"
Post a Comment