POKOK SENA - Selepas dikebumikan petang kelmarin, pusara Allahyarham bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak, terus diziarahi orang ramai termasuk ahli keluarga terdekat.
Tinjauan Sinar Harian petang semalam, mendapati beberapa ahli keluarga yang datang dari luar Kedah menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, dekat sini.
Antara ahli keluarga Ustaz Azizan yang hadir adiknya, Azizah Abdul Razak, 67; adik bongsu, Che Aini Abdul Razak, 62; bapa saudara, Ahmad Shamsuddin, 87; sepupu, Pishal Ahmad, 61, dan adik ipar Allahyarham yang juga bekas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Manan Alwi, 61.
Ahmad berkata, dia dan keluarga sempat menziarahi Ustaz Azizan sebanyak dua kali semasa Allahyarham dirawat di Hospital Pulau Pinang."Kami sekeluarga selalu berhubung, bertanya khabar walaupun masing-masing tinggal berjauhan.
"Saya sangat terasa dengan pemergiannya, sememangnya kami rapat dan banyak kenangan bersama sejak arwah kecil lagi," katanya yang tiba dari Johor Bharu, pagi semalam.Bagi Che Aini, arwah abangnya seorang yang penyayang terhadap adik-adiknya.
"Dia memang seorang yang tegas, sebab dia sayang. Allahyarham memang sangat prihatin kepada kami adik-beradik," katanya.
Sementara itu, Abdul Manan berkata, Allahyarham Azizan bukan sahaja abang iparnya, malah turut ditakdirkan sebagai gurunya semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Saya sangat bertuah menjadi adik ipar arwah sekali gus pernah menjadi anak didiknya di UIAM pada tahun 1988 hingga 1992."Sebagai seorang pensyarah, beliau mengajar saya dalam bidang Perundangan Islam (syariah).
Beliau seorang pendidik yang tegas dan baik. Setiap tunjuk ajarnya pasti disusuli dengan penjelasan yang baik, ia memudahkan kami untuk memahaminya" katanya. ~sinar harian
0 Response to "Pusara Ustaz Azizan Terus Di Ziarahi"
Post a Comment