Dr. Mujahid Belasah Penulis Picisan, Atiullah Othman




Tulisan Atiullah Othman bertajuk Pecah dan perintah Mujahid didedikasikan untuk menjawab tulisan saya sebelumnya yang tersiar dalam drmujahid.com dan dalam The Malaysian Insider bertajuk Ulama dan bukan ulama lagi? 

Saya ucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi menitipkan penanya untuk memberi komen terhadap penulisan saya. Apabila saya melihat tulisan Atiullah Othman dalam The Malaysian Insider, saya merasakan perlu dimuat turunkan dalam blog saya supaya pembaca dapat membuat penilaian terhadap komentarnya kepada tulisan asal saya.

Idea penulisan

Dalam penulisan beliau kita dapat membaca corak pemikiran yang menguasai penulis. Saya mengharapkan ada sesuatu yang menyentuh intipati rencana saya untuk dikomen tetapi malangnya apa yang saya dapati ialah tulisan yang hanya bertujuan menyatakan bahawa saya anti-ulamak bahkan mempunyai game-plan atau caturan untuk 'menamatkan' kepimpinan ulamak.

Saya juga tidak mengerti apa tujuannya menegaskan frasa 'yang diasaskan oleh ayahnya sendiri iaitu Ustaz Yusof Rawa'. Dari awal hingga akhir penulisannya, saya cuba mencari idea pemikirannya dalam menulis tetapi tidak saya temui melainkan ianya mirip gaya penulisan picisan oleh seorang ahli politik yang baru belajar bertatih.

Jikalaupun ada pun idea yang cuba hendak disampaikan, ia adalah tentang idea konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan ulamak. Lebih mengejutkan saya ialah apabila saya sampai di hujung penulisannya, terpapar pengenalan diri penulis iaitu 'Penulis ialah pensyarah di sebuah universiti tempatan dan banyak menulis mengenai PAS termasuk mengenai Islam Liberal dalam PAS' .

Tanpa pengenalan ini saya akan mengandaikan Atiullah adalah seorang ahli politik kerana jikalau dia adalah seorang ahli akademik penulisannya adalah lebih konstruktif dan pemikirannya lebih tersusun. Saya tidak tahu apakah Atiullah ahli akademik yang mahu jadi ahli politik atau dia ahli politik yang mahu dikenali sebagai ahli akademik, yang pasti penulis tidak amanah kepada komennya sendiri kerana dia bersikap selektif memilih ayat saya tanpa konteks menyeluruh kepada pemikiran yang saya cuba bawa dalam rencana saya.

Isunya adalah merit

Merit adalah perkataan yang tepat untuk semua kelompok yang bersaing dalam menempatkan diri masing-masing di hirarki parti. Merit diperlukan pada waktu persaingan berlaku bukan sahaja dalam parti tetapi dalam kehidupan biasa pun merit menjadi kayu pengukur kepada kelayakan yang dicari. Tidak ada apa yang taboo apabila kita menyatakan merit adalah keutamaan dalam menentukan kelayakan.

Merit adalah sesuatu yang baik kerana ia menggambarkan kelayakan semua pihak yang bersaing , cumanya posisi yang dicari terhad dan kerana itu ia memerlukan satu lagi tahap kelayakan iaitu berpandukan merit. Kelayakan mungkin terlalu umum untuk diungkapkan, tetapi merit adalah lebih khusus apabila persaingan itu sengit dan ramai yang layak sedangkan tempatnya terhad.

Layak dan merit

Layak adalah keupayaan yang ada pada seseorang untuk menjalankan sesuatu tugas yang ditawarkan manakala kelayakan adalah proses mencari seseorang yang mampu memenuhi ciri ditetapkan. Kelayakan membawa konotasi kesesuaian seseorang berada di sesuatu tempat.

Merit pula adalah sesuatu yang seseorang itu berhak mendapatnya kerana ciri yang jauh lebih layak daripada yang diharapkan, oleh itu merit membawa konotasi kelebihan dan pencapaian jauh dari sekadar layak. Merit tidak melihat kepada 'siapa' tetapi kepada keupayaan, kemampuan, dan kebolehan kepada sesuatu tugas atau tempat yang ditawarkan.

Saya membawa konsep merit dalam Islam iaitu al-Qawi dan al-Amin. Sebenarnya ia adalah dari ayat al-Quran Surah al-Qasas ayat 26. Bagaimana penulis boleh tersasar jauh dengan tuduhan liar terhadap saya kononnya untuk menamatkan kepimpinan ulamak?

Ulama dan siyasah

Sebenarnya isu penglibatan ulama dalam siyasah atau politik bukanlah perkara baru. Ulama sebagai anggota masyarakat berhak memilih untuk menyertai politik samada secara politik kepartian ataupun politik secara umum. Ini adalah kerana institusi ulamak dalam Islam bukan seperti institusi kepaderian yang mengelak dari melibatkan diri dalam politik kepartian. Lagipun konsep kepaderian melihatkan diri mereka sebagai suci dari 'kekotoran dunia' di mana mengikut tanggapan mereka politik adalah sebahagian 'kekotoran dunia'.

Islam tidak pula sedemikian di mana ulamak adalah mereka yang berpengetahuan dalam bidang agama dan ia tidak melambangkan 'kesucian' melainkan ulamak juga adalah manusia biasa tetapi dengan kelebihan ilmu yang mereka ada manakala dari sudut penilaian, Allah menilai mereka sama dengan manusia lain dari segi keimanan dan amalan serta keihklasannya.

Berdasarkan atas kefahaman ini, apabila ulama menyertai politik kepartian dia tetap terikat dengan kaedah merit al-Qawi, al-Amin dalam melaksanakan tugasannya sebagai ahli atau kepimpinan parti, tiada pasport jaminan hanya bergelarkan ulama ia tentunya berkelayakan dalam politik kepartian. Konsep merit al-Qawi , al-Amin perlu diperjuangkan oleh ulama dalam PAS kerana mereka lebih arif kepada ruh dan makna ayat ini untuk melonjakkan PAS ke hadapan.

Isunya adalah persaingan

Dalam artikel saya, saya menolak tanggapan bahawa isu persaingan ialah antara ulamak dan bukan ulamak. Saya menyebut bahawa istilah 'profesional' adalah sebagai label ganti kepada non-ulama maka lahirlah istilah Ulama vs Profesional. Saya jelas bahawa label untuk persaingan lebih pantas disebut sebagai persaingan kumpulan yang mahu kekal status-quo dan kumpulan yang mahukan pembaharuan kerana di kalangan kelompok status-quo tidak semuanya ulama dan di kalangan mahukan pembaharuan ada juga di kalangan ulama.

Adapun istilah gabungan Ulama dan Profesional sebagai jalan tengah ia lebih kepada jalan keluar yang selamat untuk meredakan keadaan walaupun isu pokok masih tidak digarap iaitu merit al-Qawi dan al-Amin.

Saya menulis dalam rencana saya tentang dinamika persaingan ini dengan satu andaian yang positif kerana kedua kelompok yang bersaing mahukan kebaikan untuk parti. Fakta ini sengaja dikesampingkan oleh penulis dan beliau hanya tertumou fokus untuk menggambarkan seolah-olah saya memandang serong terhadap ulama.

Menguruskan konflik

Konflik organisasi adalah satu kajian ilmiah yang asasnya ialah bagaimana konflik diuruskan. Keperluan mengurus konflik adalah supaya tercipta peluang di sebalik konflik untuk melakukan perubahan yang lebih baik untuk sesebuah organisasi. Ilmu dan disiplinnya memerlukan pengetahuan tertentu.

Saya tidak menyatakan ulama tidak berperanan sepertimana yang didakwa, saya hanya menyatakan ia memerlukan kemahiran yang boleh dipelajari oleh sesiapa pun, jadi ia bukan persoalan ulama atau tidak ulama. Kita hanya perlu berendah diri untuk membina budaya belajar dan terus belajar selagi ilmu itu membantu kita untuk memperkukuhkan parti.

Saya tidak berminat untuk menjawab respons seterusnya walaupun setelah membaca artikel ini saya percaya Atiullah dan mereka seumpamanya akan respon. Saya tetap menyatakan piawaian al-Quran dalam merit al-Qawi dan al-Amin adalah jawapan kepada isu persaingan yang sihat dalam PAS. Mungkin juga dalam fikiran Atiullah dan seumpamanya sedang mencari-cari apa pula game-plan Mujahid selepas ini. ~the malaysian insider


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Dr. Mujahid Belasah Penulis Picisan, Atiullah Othman"

Post a Comment

Close