Peguam Chin Peng Dedah Pembohongan Umno




Chin Peng menulis sekurang-kurangnya 10 surat kepada kerajaan bagi memohon kebenaran untuk kembali ke Malaysia selepas termeterai Perjanjian Perdamaian Hatyai 1989 antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan kerajaan Malaysia.  Semua permohonannya ditolak.

Peguam, Leong Cheok Keng, berkata Chin Peng menulis surat terakhir kepada setiausaha mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum mengambil tindakan mahkamah.

"Dalam salah satu suratnya, dia merayu diberi kebenaran melawat keluarganya menggunakan pas lawatan sosial. Dia berjanji akan datang secara aman. Rayuan itu turut ditolak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkara itu diberitahu Chin Peng kepada Leong semasa berbincang mengenai permohonannya kepada mahkamah untuk diberi kebenaran memasuki Malaysia.  Leong adalah salah seorang peguam yang mewakili Chin Peng.

Pengakuan Leong bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semalam bahawa Putrajaya sudah dua kali menawarkan Chin Peng untuk kembali tetapi pemimpin PKM itu menolaknya.

Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Perak berkata, Chin Peng pernah memberitahunya bahawa wakil terawal berunding dengan kerajaan mengenai permohonannya itu ialah menerusi bantuan peguam di Teluk Intan,  iaitu mendiang David Chai.

"Chin Peng memberitahu kami dia mahu pulang dalam tempoh setahun selepas termeterainya perjanjian tetapi mendapati permohonannya ditolak dan selepas itu beliau mula mendapatkan khidmat guaman," katanya kepada The Malaysian Insider di Bangkok, ketika beliau bersama 300 yang lain memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin komunis itu, semalam.

Leong berkata, Chin Peng memaklumkan kepada peguamnya mengenai rundingan terdahulu bersama kerajaan bagi menguatkan lagi hujahnya. Dia mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Mac 2005 tetapi kalah dalam perbicaraan kerana gagal mengemukakan surat beranak dan bukti kewarganegaraan.

Semasa di Mahkamah Rayuan pada 2008, salah seorang juri, Datuk Abdul Malik Ishak, berkata buku yang ditulis Chin Peng mengandungi butiran penuh penjajahan British pada 16 Jun 1948 bertajuk "Alias Chin Peng - My Side History" tidak boleh diterima sebagai hujah.

"Semuanya boleh ditulis.  Perkara asasnya adalah: Mana dokumen anda? " soal Abdul Malik.Chin Peng mendakwa, dia tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalannya kerana dirampas polis sewaktu dia cuba melarikan diri di Kampar.

Katanya, dia layak kembali ke Malaysia kerana dilahirkan di Sitiawan, , Perak pada 20 Oktober 1923.Mayat Chin Peng dibakar di Bangkok semalam namun masih belum diketahui di mana abu mayatnya akan disimpan.

Ahli keluarganya masih membisu berhubung isu berkenaan meskipun ahli politik masih berdebat sama ada abunya boleh dibawa pulang ke Sitiawan atau sebaliknya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan menentang abu Chin Peng dibawa pulang kerana dibimbangi akan dipuja sebagai seorang pejuang. ~the malaysian insider


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Peguam Chin Peng Dedah Pembohongan Umno"

Post a Comment

Close