Panel Forum Setuju Hanya Di Malaysia "Allah" Bukan Milik Semua




Dalam kehangatan forum `Nama Allah eksklusif atau tidak: Hukum asal, dakwah dan siasah', ahli panel daripada pelbagai latar belakang politik tidak menolak fakta sejarah mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, tetapi dibimbangi akan mendekatkan orang Islam kepada agama Kristian.


Pensyarah Pusat Kajian Lanjutan Islam Sains dan Tamadun UTM, Dr Khalif Muammar A Harris berkata, pihak Kristian mempunyai agenda apabila meminta untuk menggunakan kalimah Allah dalam kitab Injil mereka.

"Agama Kristian dikatakan berusia 2,000 tahun, oleh itu mereka sepatutnya mempunyai perkataan lain yang boleh dipilih untuk merujuk tuhan mereka," kata Khalif dalam forum anjuran Mysuara.net semalam.

"Motif mereka memilih kalimah Allah membuktikan mereka mempunyai agenda. Memang betul kalau lihat menerusi sejarah banyak yang menggunakan kalimah Allah sebelum Islam," katanya.

Katanya, kedatangan Muhammad sebagai rasul kepada umat Islam menyebabkan perkataan Arab itu mengalami Islamisasi.

"Begitu juga nama Allah, difahami maknanya berbeza semasa zaman jahilliah. Tetapi dengan kedatangan Islam yang dibawa oleh Muhammad, ia telah merubah konsep makna Allah itu," katanya.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam ucapan pembukaannya sebagai moderator menerangkan penggunaan kalimah Allah di negara Arab digunakan oleh bukan Islam secara meluas dan tidak dipertikaikan.

"Dalam masyarakat Arab, mereka memanggil tuhan sebagai Allah. Abu Jahal, Abu Lahab juga bersumpah dengan nama Allah. Sehingga mereka berdoa apabila menentang nabi Muhammad SAW, 'Ya Allah, musnahkanlah Muhammad'.

"Jadi penggunaan kalimah Allah berlaku sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan daripada Nabi sebelumnya," kata bekas Mufti Perlis itu.

Mohd Asri juga menegaskan berbeza di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian di negara Arab bukan satu isu seperti yang berlaku di Malaysia.

"Penggunaan itu kita didapati tidak pelik dalam masyarakat Arab, justeru juga di kalangan orang Kristian. Mereka menggunakan nama kalimah Allah sejak dahulu lagi," katanya.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr Yusri Mohamad mendakwa pertikaian mengenai kalimah Allah di Malaysia adalah satu rancangan "Kristianisasi" yang sedang berlaku secara diam-diam di dalam negara.

"Pihak Kristian mengambil langkah ini kerana ini adalah jalan terbaik untuk memurtadkan Muslim. Ia hilangkan fobia Muslim.

"Ini akan menjadikan Muslim lebih mesra kepada Kristian, jadi ini adalah langkah menjinakkan dahulu," katanya.

Wakil PAS, Khalid Samad, menegaskan pertikaian siapa yang lebih berhak menggunakan kalimah Allah tidak sepatutnya menjadi satu isu sebaliknya yang perlu ditekankan adalah pemahanan tentang konsep ketuhanan.

"Perkara kedua adalah pertahanan kita adalah ilmu.

"Ini bukan isu kalimah Allah tapi ianya adalah isu konsep ketuhanan, inilah perbezaannya," kata ahli Parlimen Shah Alam itu yang mengakui pimpinan PAS juga mempunyai pandangan berbeza tentang penggunaan kalimah Allah.

Khalid juga menolak hujah kedua-dua panel lain yang mengatakan wujudnya cubaan menyebarkan agama Kristian, kerana undang-undang sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan sebarang penyebaran agama lain selain Islam tidak dibenarkan kepada Muslim.

"Soal isu Kristianisasi memang dilarang. Apa-apa risalah berhubung dengan kefahaman Kristian ataupun agama selain Islam tidak boleh dikembangkan.

"Ia secara jelas melindungi agama Islam di Malaysia," katanya.

Mohd Asri ketika menggulung forum itu berkata: "Saya rasa secara umumnya ada perkara yang kita bersetuju iaitu orang bukan Islam boleh memanggil tuhan yang sebenar iaitu zat tuhan yang maha esa, pencipta dengan kalimah Allah.

"Cuma yang berlaku perbezaan di kalangan pemikir ini ialah bagaimana apabila mereka ingin menggunakan perkara itu dalam buku mereka, kitab mereka, iaitu bible ataupun kitab yang lain.

"Itu ada perbezaan, maka bukan bermaksud kalimah Allah eksklusif dalam erti kata langsung bukan Muslim tidak boleh memanggil tuhan Allah adalah satu andaian tidak benar."

Isu kontroversi kalimah Allah kembali diperkatakan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Disember 2009, yang membenarkan semakan kehakiman Gereja Roman Katolik bagi menarik balik larangan KDN berhubung penggunaan kalimah "Allah" dalam Herald untuk merujuk kepada Tuhan Kristian.

Pada 22 Ogos gereja Katolik gagal dalam permohonan mengetepikan rayuan Putrajaya untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan Arab "Allah" sebagai terjemahan bahasa Melayu kepada "God".

Perbicaraan akhir rayuan kalimah Allah yang akan berlangsung pada 10 September ini. ~the malaysian insider

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Panel Forum Setuju Hanya Di Malaysia "Allah" Bukan Milik Semua"

Post a Comment

Close