Bung Mokhtar Radin Puji Karpal Singh




Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin (gambar) dalam kenyataan yang agak mengejutkan hari ini memuji Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh sebagai peguam yang hebat sehingga pemimpin Umno sendiri menggunakan khidmat mereka ketika di mahkamah.


Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut berkata ketika perbahasan Rang Undang-undang Akta Profession Undang-undang (Pindaan) 2012 berkata, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah juga merupakan seorang peguam yang hebat.

"Kita tengok hari ini Puchong tiada di sini kerana dia di luar berjumpa pelanggan. Ini perkara bagus. Bukit Gelugor juga peguam yang bagus dengan 100 kemenangan, jika tidak mesti ada yang dipenjarakan," katanya merujuk Karpal yang merupakan ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Gobind yang merupakan ahli Parlimen Puchong.

"Bukit Gelugor bagus, ada orang Umno pun menggunakan khidmatnya," kata Bung Mokhtar.

Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham bagaimanapun mengingatkan Bung Mokhtar agar tidak menghina mahkamah kerana mendakwa kemenangan sesuatu kes bukan disebabkan keputusan mahkamah tetapi peguam.

"Mana lagi kita jumpa ahli Parlimen pembangkang yang merupakan peguam yang hebat seperti mereka berdua," kata Bung Mokhtar.

Beliau juga berkata Muhammad Shafee juga boleh dijadikan contoh kepada pelajar jurusan undang-undang.

"Muhammad Shafee juga hebat hinggakan orang asing juga menggunakan khidmatnya," katanya lagi.

Jelas pemimpin yang lantang itu lagi, akta berkenaan juga suatu peruntukan undang-undang yang baik, namun memerlukan pindaan untuk mengukuhkannya.

"Saya bukan peguam tetapi saya suka tengok cerita peguam di televisyen," katanya sebelum mengakhiri ucapan perbahasannya. ~the malaysian insider



Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Bung Mokhtar Radin Puji Karpal Singh"

Post a Comment

Close