Keengganan Putrajaya membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia, menyebabkan ianya akan diagihkan kepada anak, cucu dan rakan seperjuangannya di Bangkok hari ini.
Bekas pemimpin komunis itu meninggal dunia di Hospital Bangkok pada 16 September lalu ketika berumur 89 tahun. Mendiang akan disemadikan di Wat That Thong, Jalan Sikhumvit menurut laporan Bangkok Post.
Portal itu tidak menyatakan dengan lengkap di mana abu itu akan disimpan kerana Putrajaya dalam kenyataannya tidak membenarkan abu itu memasuki Malaysia.
"Abu itu akan diagihkan kepada rakan seperjuangan Chin Peng yang tinggal di empat kampung berasingan di Selatan Thailand," memetik laporan itu.
Laporan itu menyatakan bekas Perdana Menteri Thailand Jeneral Chavalit Yongchaiyudh akan menjadi tetamu kehormat semasa upacara pembakaran mendiang itu.
Chavalit yang juga merupakan panglima tentera darat ketika pemberontakan PKM di selatan negara itu dihormati bukan hanya dari kalangan keluarga Chin Peng tetapi ahli PKM sendiri.
Akhbar tempatan melaporkan bekas pemimpin Parti Komunis Thailand Thong Chamsri, 90, dan Vichai Chutnam hadir memberi penghormatan terakhir pada Jumaat.
Sebahagian dari 40 bekas ahli PKM turut hadir ke majlis tersebut.
Kematian Chin Peng menimbulkan kontroversi setelah keengganan Putrajaya untuk membenarkan abu Chin Peng disemadikan di kampung halamannya di Sitiawan, Perak.
Pendirian kerajaan itu di atas alasan ribuan rakyat Malaysia terkorban dan tercedera di tangan komunis.
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia mendakwa semalam tarikh kematian Chin Peng sengaja diubah bagi membolehkan ia diselarikan dengan sambutan Hari Malaysia.
Akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia mengatakan Chin Peng meninggal dunia pada petang 15 September dan bukannya 16 September seperti dilaporkan.
Ahli keluarga Chin Peng menyangkal dakwaan itu dan mendakwa akhbar itu berniat jahat dan biadap.
Jurucakap keluarga mendiang, Lee Chong berkata: "Dia dah mati. Kenapa tak boleh biarkan mendiang bersemadi dengan aman?
"Sehari sebelum jasadnya hendak dibakar, kerajaan Malaysia masih mahu memutar-belit fakta." ~
the malaysian insider
0 Response to "Abu Mayat Chin Peng Diagih Kepada Keluarga Dan Rakan Seperjuangan"
Post a Comment