SHAH ALAM – Sekretariat Ulama Muda Malaysia (ILMU) meminta isu status Facebook yang membandingkan pihak yang mendapat subsidi daripada kerajaan dengan babi, yang ditulis oleh seorang ahlinya tidak dibangkitkan lagi.
Pengerusinya, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, beliau sudah menegur penulis status itu, Abu Abdillah Riduan Khairi serta bertanya apa kewajaran untuk dia menggunakan perbandingan tersebut.
“Walaupun dia ahli ILMU tapi status itu tidak ada kena mengena dengan kita (ILMU). Kita pun tidak setuju dia gunakan istilah itu (babi) untuk dibandingkan dengan manusia. Saya sendiri sudah tegur dia,” katanya, semalam.
Ditanya apakah status berkenaan bermaksud untuk menyokong kenyataannya sebelum ini yang mengatakan dalam sistem pemerintahan Islam tidak ada subsidi yang perlu dikeluarkan oleh pemerintah kepada rakyat, Fathul Bari berkata: “Ya!”
“Apa yang saya maksudkan adalah tidak ada subsidi pukal iaitu subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada semua peringkat dalam masyarakat secara pukal, tidak kira yang kaya atau miskin, semua dapat merasa subsidi, itu yang saya maksudkan tidak ada dalam Islam.
“Islam ada sistem zakat iaitu orang yang kaya atau berkemampuan, perlu keluarkan zakat untuk diberi kepada yang asnaf yang layak,” katanya.
Ditanya lagi apakah kenyataan seperti perbandingan manusia dengan babi yang sememangnya kontroversi boleh mengundang padah yang buruk kepada ILMU dengan kedudukan mereka sebagai dalam kumpulan yang digelar ulama muda Umno, Fathul Bari yang akan bertanding merebut salah satu kerusi Exco Pemuda Umno mengakui perkara tersebut.
“Memang boleh menjejaskan dan boleh jadi masalah tapi seperti saya katakan, ini kenyataan peribadi Abu Abdillah Riduan Khairi, tiada kaitan dengan ILMU,” katanya.
Fathul Bari sekali lagi minta masyarakat menghentikan polemik tentang perkara itu kerana penulis status berkenaan sudah memadamkan kenyataannya dan menggantikan dengan permintaan maaf.
“Saya sangat berharap, isu ini tidak berbangkit lagi setelah dia memohon maaf secara terbuka,” katanya.
0 Response to "Samakan subsidi dengan Babi, Fathul Bari tegur ahli ILMU yang biadap"
Post a Comment