Patutlah Shahrizat Beria-Ria Pertahan Jawatan Ketua Wanita.. Ini Sebabnya




Walaupun populariti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatasi pencabarnya dalam pemilihan Wanita Umno kali ini tetapi penganalisis berpendapat beliau perlu bertarung bagi memastikan kelangsungan survival politiknya.


Penganalisis memberikan pelbagai faktor kelemahan beliau dan yang paling utama ialah pembabitan ahli keluarganya dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).


Antara sebab lain ialah corak pemilihan Umno kali ini yang mahukan wajah baru dan perubahan dalam parti itu dengan beberapa perubahan saat akhir dalam pertandingan pemimpin kanan.

Kira-kira 10 minit sebelum tempoh pencalonan tamat pada Sabtu,  pertandingan merebut sayap wanita parti berubah menjadi tiga penjuru.Di saat-saat akhir, Shahrizat terpaksa berdepan dengan pencabar yang merupakan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Seorang lagi pencabar ialah Ketua Wanita Kulim Bandar Baru yang juga seorang peguam, Raihan Sulaiman Palestin.Raihan meminta ahli Wanita Umno tidak memandang rendah pencalonannya kali ini kerana beliau membawa suara akar umbi.

Namun semua tertumpu kepada Maznah yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah yang dikhabarkan menjadi proksi kepada bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebaik sahaja Maznah mengumumkan dirinya akan bertanding, Rafidah berkata, satu pertandingan yang sihat berlaku dan menafikan Maznah adalah proksinya.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum A Jawan, berkata meskipun pencabar Shahrizat tidak begitu dikenali tetapi pertandingan kali ini bakal menunjukkan beliau akan bertarung untuk survival politiknya.

"Jika pewakilan berpendapat parti perlu dijenamakan semula seperti menampilkan muka baru dan berintegriti, Shahrizat akan berdepan detik sukar," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid sependapat dengan Jayum menjelaskan meskipun Shahrizat kukuh daripada segi populariti tetapi jika pewakilan menyahut seruan Datuk Mukhriz Mahathir 'berani berubah', kedudukan beliau akan tergugat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, berkata Sharizat akan menghadapi persaingan sengit tetapi peluangnya cerah kerana masih mempunyai pengaruh dalam sayap berkenaan.

"Beliau ada peluang tetapi jangan memandang rendah kepada lawannya," katanya.Beliau berpendapat skandal NFC adalah salah satu sebab ahli sayap itu enggan mengundinya.

Katanya, pemilihan kali ini tiada petunjuk jelas siapa bakal memenangi pertandingan kerana ramai pewakilan yang akan mengundi.Pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan berlangsung pada 12 Oktober ini. ~the malaysian insider

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Patutlah Shahrizat Beria-Ria Pertahan Jawatan Ketua Wanita.. Ini Sebabnya"

Post a Comment

Close