Punca Adam Adli Sambung Gantung Pengajian Tersebar?



Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakan pentadbiran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menggantung aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim, dan mengingatkan bahawa mahasiswa perlu mengetahui batasan kebebasan berpolitik yang diberikan kepada mereka.

Dalam ucapannya ketika sesi dialog dengan pelajar di UPSI, Menteri Pendidikan itu berkata, pelajar universiti perlu menggunakan saluran yang sedia ada untuk menyampaikan sebarang kritikan ataupun cadangan dan bukannya memilih untuk berdemonstrasi.

"Kritikan tersebut mestilah dengan cara baik, bahasa yang baik tanpa menimbulkan masalah, tidak berdemonstrasi, jadi apa salahnya," katanya semasa menjawab soalan yang diajukan salah seorang pelajar mengenai kebebasan berpolitik seperti yang dinyatakan dalam pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Walaupun tidak merujuk secara khusus kepada aktivis mahasiswa tersebut, kenyataan Muhyiddin tersebut secara tidak langsung terarah kepada Adam Adli yang dinafikan haknya untuk meneruskan pengajian di UPSI walaupun tempoh penggantungannya tamat.

Adam Adli digantung selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tanpa dibela peguam semasa dibicarakan.

Penuntut sarjana muda pendidikan berusia 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan 9 Januari lalu atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember tahun lalu.

6 September 2013 lalu, dia menerima surat daripada naib canselor universiti itu memaklumkan dia digantung pelajaran selama-lamanya sehinggalah kes mahkamahnya selesai.

Muhyiddin berkata, mahasiswa digesa menggunakan platform dan saluran yang sedia ada serta berasaskan pertimbangan yang bijaksana dan waras, bukannya secara melulu sehinggakan mencemarkan imej institusi pengajian.

"Kita berharap juga perubahan dan kelonggaran yang diberi ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar dengan tindakan berasaskan pertimbangan yang waras dan bijaksana.

"Kalaupun ada apa isu atau permasalahan, mahasiswa boleh gunakan banyak platform sedia ada sama ada di peringkat universiti, kementerian atau pun kerajaan dengan saluran tertentu boleh digunakan untuk mengemukakan pandangan secara tertib dan berdisiplin dengan cara yang baik," katanya.

Senada dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Naib Canselor UPSI, Datuk Zakaria Kasa juga menggesa pelajar menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada pelajar.

"Saya gesa semua pelajar UPSI menghargai bantuan yang diberikan kerajaan untuk meringankan beban pelajar," kata Zakaria semasa majlis sama di kampus UPSI, Tanjung Malim.

Adam Adli mencetus kontroversi selepas terlibat dalam demonstrasi mahasiswa turun bendera Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 2011.Pada Mei lalu, Adam Adli didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke 13 semasa Forum 13 Mei.

Beliau didakwa mengajak rakyat ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).Adam Adli mendakwa, tindakan universitinya ini bermotif politik dan universiti mengenepikan segala prosedur ketika menjatuhkan hukuman ke atasnya. ~the malaysian insider



Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Punca Adam Adli Sambung Gantung Pengajian Tersebar?"

Post a Comment

Close