Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil muncul hari ini mengakui beliau adalah individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan.
Semasa mengadakan sidang media di Kelab Tasik Putrajaya petang tadi, Suhaimi berkata beliau disiasat atas pertuduhan salah guna wang program akhiri zaman miskin (1AZAM).
Katanya, sekurang-kurangnya tujuh individu dari kementerian lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.
"Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul," katanya.
Menurut laporan, SPRM menyita 10 kenderaan mewah Suhaimi namun beliau menafikan laporan itu.
"Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di blog, itu hasil usaha keras saya. Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu."
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang ditahan reman empat hari sejak Jumaat berhubung kes itu dan dibebaskan pada Selasa.
Suhaimi tidak bercerita lanjut butiran penyiasatan.
"Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM, katanya, "Saya telah berikan kerjasama."
Berhubung penahanannya, beliau menerima panggilan dari SPRM pada petang Jumaat supaya datang ke ibu pejabatnya di Putrajaya.
"Saya datang sendiri dan tiba pada jam 5 petang dan disoal sepanjang minggu."
Suhaimi berkata selepas ini beliau mahu memberi fokus kepada perniagaan dan tidak mahu terjebak lagi dalam pertuduhan sedemikian.
"Perniagaan saya tiada kaitan dengan kementerian atau program di bawahnya. Namun untuk mengelak sebarang tuduhan, lebih baik saya berdiam diri," katanya.
Ketika ditanya adakah dakwaan ini satu usaha mencemarkan bekas orang atasannya itu berikutan pemilihan Umno akan berlangsung tidak lama lagi, Suhaimi enggan mengulas.
Beliau mengingatkan media agar berhenti memberikan maklumat yang salah berhubung penahanannya.
Program 1AZAM adalah sebuah inisiatif kerajaan dibawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Program itu diperkenalkan pada Januari 2010 bagi memberi peluang perniagaan dan pertanian kepada golongan miskin menceburi bidang tersebut.
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan RM1.35 billion bagi menyediakan bantuan kepada 473, 928 penerima seluruh negara.
0 Response to "Bongkar!! Rupanya SU Politik Shahrizat Jalil Di Siasat SPRM Berkenaan Salah Guna 1AZAM"
Post a Comment