Datuk A. Kadir Jasin hari ini menyatakan sokongan kepada ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa rakyat sudah muak dengan Umno.
Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu, Umno sedang berhadapan krisis kredibiliti yang serius. "Saya setuju (kenyataan Nur Jazlan) ... Umno hari ini ada masalah kewibawaan yang sangat teruk," kata Kadir kepada The Malaysian Insider selepas forum anjuran Sinar Harian petang ini.
Umno jelasnya perlu menampilkan bukan sahaja pemimpin parti, tetapi juga dasar yang di bawa mereka untuk bertanding dalam pemilihan Umno yang dijadualkan penghujung tahun ini.
"Mereka bertanding atas dasar apa, apa agenda mereka?" soal Kadir.
Nur Jazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam menyelar Umno yang dakwanya tidak menunaikan janji pada Pilihan Raya 2013, sekaligus menjadikan rakyat muak dengan parti Melayu itu.
Beliau juga kemudiannya mengumumkan akan bertanding merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan bagi membawa pembaharuan.
"Penyokong Umno curiga dengan kewibawaan pemimpin dan dasar Umno ... kalau Umno nak kuat sebagai parti induk pemerintahan negara, kembalikan kewibawaan, dan tunjukkan kewibawaan yang lebih tinggi untuk diyakini dan perlu buktikan parti itu berwibawa," kata Kadir, selepas forum di Shah Alam.
Kenyataan Nur Jazlan menerima sokongan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, akan tetapi Naib Presiden Umno, yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan beliau "sengaja mencari perhatian."
"Dalam pemilihan nanti Umno perlu tonjolkan dasar mereka," kata Kadir lagi.
Umno buat pertama kalinya akan mengadakan pemilihan berdasarkan format berbeza berbanding sebelum ini, yang menyaksikan 150,000 ahli parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) itu akan mengundi memilih kepimpinan parti.
~the malaysian insider
0 Response to "Lagi Bukti Rakyat Sudah Muak Dengan Umno.."
Post a Comment