Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dari Jabatan Perdana Menteri menegaskan, semua pelantikan kakitangannya dibuat berdasarkan meritokrasi, pengalaman profesional, etika kerja dan kemampuan untuk menghasilkan kualiti kerja.
Menurut satu kenyataan bertarikh 5 September akan tetapi hanya boleh diakses media semalam, Pemandu juga menjelaskan, kakitangannya yang bertugas sebagai Penganalisa Kanan, Farah Intan Burhanudin hanya mengulang untuk mata pelajaran Bahasa Arab sahaja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
"Memang dia mengulang untuk mata pelajaran Bahasa Arab yang menjadi mata pelajaran wajib di UIA, tetapi dia tidak pernah mengulang untuk mata pelajaran subjek teras.
"Farah menamatkan pelajarannya di UIA dengan Ijazah Penuh Kepujian Kelas Kedua," kata Penganalisis Pemandu Ashvin Khaira dalam kenyataan itu.
Pemandu juga menjelaskan, denda yang dikenakan ke atas Farah oleh Majlis Peguam adalah denda pentadbiran sahaja kerana kegagalan beliau memaklumkan pertukaran kerja dari peguam kepada bertugas dengan Pemandu.
Penjelasan ini dibuat Pemandu bagi menjawab segala tuduhan yang dikenakan blogger Umno terhadapnya baru-baru ini sehingga mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "sewel".
Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk "Sewel" Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu.
Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman.
Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk "The PM's Screwup Team – Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc" itu disiarkan juga di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kedua-dua mereka sepakat pembentukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara.
Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka.
Mereka turut mempertikaikan bagaimana Farah boleh dilantik sebagai pegawai kanan Pemandu sedangkan sikapnya yang suka joli, mabuk dan pernah dikenakan denda oleh Majlis Peguam. ~
the malaysian insider
0 Response to "Ini Penjelasan PEMANDU Berkenaan "Najib Sewel""
Post a Comment