Wajib bendung kemungkaran zina

MASYARAKAT kita semakin terdedah kepada nilai-nilai kebebasan. Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur. Kebebasan didambakan oleh pemburunya dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam persoalan mengenai seks misalnya, ramai mula terpengaruh dengan pandangan bahawa seks adalah persoalan individu semata-mata. Individu adalah bebas dan berhak untuk menentukan aktiviti seksnya.



Di sisi Islam, seks bebas tanpa nikah itu adalah 'zina'. Zina mempunyai impak psikologi sama ada dari sudut agama mahupun moral kepada pelakunya. Jiwa penzina biasanya tertekan dan tidak tenteram kesan daripada perbuatan keji itu. Jika golongan ini tidak bertaubat dan kembali kepada jalan kehidupan yang bermoral maka mereka akan terus terbenam dalam kancah maksiat yang merosakkan hidupnya.

Tanpa menafikan golongan dewasa turut terlibat dalam perbuatan seks bebas, fenomena itu kini lebih menonjol di kalangan remaja kita yang terbabas dalam mencari erti kebebasan hidup. Bukan mereka tidak tahu hukum berzina di sisi agama tetapi kemungkaran yang dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh memudahkan proses 'pereputan' jati diri dan akal budi bangsa.

Kesan daripada mengambil secara membuta tuli fahaman kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat 'nafsi nafsi' atau istilah modennya individualistik. Justeru, tidak hairanlah lahir kefahaman atau pendapat seperti dosa masing-masing tanggung atau kubur masing-masing jaga. Pandangan itu boleh menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.

Ramai juga yang gagal memahami bahawa budaya pergaulan bebas mempunyai hubungan rapat dengan perbuatan zina. Bagi masyarakat Barat, remajanya diberi kebebasan dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana mencegah berlaku kehamilan, bukannya mengajar mengenai salahnya perlakuan zina itu. Ini tidak menghairankan kerana agama bukan lagi menjadi roh kehidupan masyarakat Barat walaupun agama Kristian mengharamkan perbuatan zina.

Di antara perkara-perkara yang mendedahkan kita kepada 'mendekati zina' adalah pergaulan bebas , berdua-duaan antara lelaki dan wanita, melihat wanita dengan bernafsu dan gambar atau video pornografi.

Secara fitrahnya, seks adalah satu bentuk anugerah dan nikmat kurniaan Allah kepada manusia. Malah, naluri itu turut diberikan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Fitrah atau naluri inilah menyebabkan keturunan manusia berkembang biak. Bagi Islam, seks untuk manusia hanya boleh dilakukan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Justeru, mereka yang terpengaruh dengan budaya seks bebas adalah individu yang sudah rosak fitrahnya dan berada dalam daerah kebinatangan. Jalan keluarnya adalah segera bertaubat dan kembali kepada jalan hidup yang berakhlak dan bermoral sesuai dengan status manusia sebagai makhluk yang dimuliakan Allah SWT.

Secara tabiinya, hubungan seks akan menyebabkan wanita mengandung dan melahirkan anak. Keturunan manusia akan menjadi apabila nasab keturunannya dilahirkan secara sah.

Zina pula akan melahirkan keturunan yang tidak diketahui nasab keturunannya sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah lain seperti keruntuhan keluarga dan masyarakat.

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 17,303 anak luar nikah di kalangan Melayu-Islam didaftarkan pada tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya iaitu 2008 sebanyak 16,541 kes, manakala tahun 2007 seramai 16,100.

Dari perangkaan itu, jelas kepada kita bahawa gejala zina semakin berleluasa di kalangan bangsa kita sendiri yang menganut agama Islam. Malah, masyarakat kini dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Secara logiknya, pembuangan bayi adalah kesan daripada perbuatan zina.

Justeru, kebimbangan perlu ada pada kita tentang masa depan bangsa. Tidak wajar kita berpeluk tubuh menyaksikan segala kemungkaran yang melanda generasi muda hari ini.

Bayangkan bagaimana nanti keadaan generasi yang kita tinggalkan itu seandainya mereka berada dalam keadaan yang rendah akal budi dan jauh dari kehidupan yang mulia dan berakhlak. Kumpulan yang sedar ini seharusnya menjadi penggerak kepada usaha membetulkan keadaan. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu harus memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam hal ini.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana anak-anak remaja adalah golongan yang masih berada di bawah tanggungjawab mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa kurangnya perhatian terhadap didikan agama menyebabkan anak-anak mudah terjebak kepada kehidupan tidak bermoral.

Kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama menyebabkan mereka mudah terjebak dengan amalan-amalan maksiat yang merosakkan kehidupan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sebahagian daripada kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama.

Sebenarnya, bukan sahaja perbuatan zina semakin berkembang dalam masyarakat Islam di negara kita tetapi pelbagai kemungkaran lain seperti meminum arak turut meningkat.U/M

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan




Detikdaily - Wajib bendung kemungkaran zina

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Wajib bendung kemungkaran zina"

Post a Comment

Close