Imam turun mimbar ambil teks khutbah dalam raga motorsikal

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Imam adalah pemimpin yang dihormati masyarakat kerana menjadi tempat rujukan dalam apa jua isu yang berlaku di dalam khariahnya. Setiap pertikaian atau perbalahan dalam kampung maka imam adalah pihak yang tidak pernah dilupakan untuk diminta menyelesaikannya, selain ketua kampung atau lain-lain pemimpin masyarakat tempatan.

Di Kedah, macam juga sebahagian besar negeri lain di Malaysia, imam dipilih berasaskan kelayakannya bukan kerana anutan politiknya. Imam berada di bawah pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa agama di bawah Sultan atau Yang Dipertuan Agong.

Sekali seseorang itu diangkat menjadi imam, amat sukar ia diturunkan. Sebab itu pihak berkuasa agama amat berhati-hati dalam membuat pemilihan imam, apabila berlaku kekosongan. Ujian dan temuduga menjadi syarat wajib. Menteri Besar mahupun Exco tiada kuasa terhadap pelantikan imam kerana akhirnya nanti Tuanku Sultan yang akan mengeluarkan tauliah pelantikan.

Oleh kerana imam juga terdiri dari kalangan manusia biasa dan bukan Malaikat, maka segelintir mereka terdedah dengan ‘salah laku’. Terdapat rungutan dari anak khariah kononnya susah sangat hendak berurusan dengan imam kerana imam sering keluar khariah. Lebih sibuk dengan aktiviti luar khariah Dari menjaga anak khariah sendiri.

Terdapat juga imam yang tidak melakukan apa-apa pembaharuan dalam khariahnya sejak memegang jawatan itu berpuluh tahun, sedang dia tidak pula mengizinkan pihak lain melakukan pembaharuan.

Ada masjid yang jarang terdapat kuliah agama kerana imamnya begitu berhati-hati untuk membenarkan ustaz dari luar khariah mengajar. Takutkan ajaran sesat, takut ‘ceramah politik’, takut ‘mengata dekat orang’ dan macam-macam alasan.

Ustaz Taib Azamuden adalah bekas Imam Besar Masjid Negara, tetapi terdapat masjid yang tidak membenarkan beliau berkhutbah kerana kononnya tiada tauliah atau kelayakan.

Terdapat kisah lucu perihal seorang imam yang tidak pernah bertukar sejak sekian lama memimpin masjid. Anak khariah ‘mencuri’ teks khutbah kedua yang sudah lusuh dan reput kerana bosan teks tersebut tidak pernah bertukar isi kandungannya. Anehnya imam tersebut dapat membaca dengan lancar teks kedua itu kerana telah terhafal akan isinya lantaran lamanya beliau menjadi imam.

Suatu kisah yang lain seorang imam tertinggal teks khutbah kedua dalam raga motorsikal. Dari mimbar masjid beliau turun mendapatkannya di raga motorsikal, sehingga makmum tertanya-tanya batal atau tidak solat Jumaat yang dipimpinnya.

Imam yang terlalu tua, uzur dan tidak lagi produktif menjadi masalah kepada anak-anak khariah. Istilah yang hampir macam ‘Quran buruk’ pada anak-anak khariah. Anak-anak khariah mengharap imam seperti itu berundur untuk diganti dengan imam baru, tetapi ia tidak berlaku.

Penyalahgunaan kuasa dalam mana-mana pentadbiran adalah perkara biasa, tetapi penyalahgunaan kuasa imam jarang didengari. Terdapat laporan kononnya seorang imam mengenakan bayaran kepada anak khariah lain yang ingin menggunakan tanah kubur dalam khariahnya, sedangkan ahli jawatankuasa masjid tidak tahu menahu.

Semua catatan ini adalah antara laporan anak khariah yang sampai ke pengetahuan pihak berkuasa agama. Memang jumlah imam yang melakukan salah laku itu amat kecil tetapi dia seorang menaungi anak khariah yang terlalu ramai. Maka kesalahan imam, biar pun cuma seorang, tetapi impaknya besar.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya mengetuai lebih 20 orang ahli jawatankuasa dewan itu membuat laporan polis terhadap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, kelmarin.

Laporan itu dibuat ekoran daripada kenyataan Ahmad yang disiarkan sebuah akhbar 6 April lalu yang didakwa cuba menghasut imam dan pegawai-pegawai masjid di negeri itu untuk mengingkari titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Beberapa hari lalu, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) telah mengeluarkan arahan kepada imam dan pegawai masjid yang berusia lebih 60 tahun untuk mengisi Borang M4 yang berkaitan dengan had umur kelayakan penjawat jawatan dalam organisasi masjid.

Ahmad Bashah dilaporkan mempertikai tindakan Jaik mengeluarkan arahan yang didakwanya bermotifkan politik dan tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

Ustaz Ahmad berkata, Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata juga berniat jahat dengan mendakwa tindakan Jaik itu adalah bertujuan untuk memecat imam dan pegawai masjid dari jawatan yang disandang mereka.

“Ahmad Bashah telah mencampuri hal ehwal agama Islam yang berapa di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah. Kita minta polis siasat beliau yang menghasut imam dan pegawai masjid mengingkari titah perkenan Tuanku Sultan.

"Beliau juga telah membangkit suasana tidak harmoni di kalangan mereka yang bertanggungjawab terhadap institusi masjid yang paling dihormati," katanya.

Tindakan Ahmad Bashah sangat mudah untuk difahami. Dia melenting kerana beberapa orang yang terbabit terdiri dari penyokong tegar Umno. Kebetulan antara imam yang diambil tindakan itu adalah penyokong kuat Umno sampai tidak segan silu memakai topi cepiu Umno sewaktu perarakan calon. Jika semua yang diambil tindakan itu adalah imam bebas atau bukan imam Umno, maka pastinya mereka tidak akan peduli. Di kalangan yang diambil tindakan itu terdapat imam yang menyokong PAS. PAS tidak mempertahankan imam tersebut atau menyalahkan Jaik bukan kerana negeri Kedah diperintah oleh PAS tetapi menyedari akan rasional tindakan Jaik. Mereka bertindak professional sambil menyedari bahawa hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa Sultan bukannya Menteri Besar atau orang politik.

Ahmad Bashah melihat isu ini dari perspektif Umno. Memang dalam budaya Umno, sekali mereka berkuasa dalam kerajaan mereka menganggap diri berkuasa untuk segala-galanya. Sebab itu sewaktu mereka berkuasa dulu, seorang JKKK boleh mengarahkan penghulu atau pejabat daerah.

Misalnya, apabila penduduk kampung merungut kepada pejabat daerah kerana menurap tar mini hanya ke rumah ahli Umno sahaja, maka jawapan yang diberi itu ‘arahan’ JKKK. Dahulu Pegawai Daerah pun pening dengan JKKK. Sekarang jangan pula Umno selaku pembangkang di Kedah hendak memeningkan kepala pihak berkuasa agama dan pihak istana pula.

KedahLanie

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Imam turun mimbar ambil teks khutbah dalam raga motorsikal"

Post a Comment

Close