Ayam masak merah tercemar bakteria Salmonella punca keracunan di kenduri kahwin

Hidangan ayam masak merah yang dihidangkan dalam kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah Sabtu lalu dicemari bakteria Salmonella, menyebabkan empat kematian dan ratusan lagi keracunan makanan setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, berkata bakteria itu ditemui dalam spesimen hasil bedah siasat ke atas mangsa dan sampel yang diperoleh dari tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati ayam yang digunakan untuk majlis perkahwinan itu tidak disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik selama semalaman, sebelum dimasak pada hari kenduri.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130 ekor ayam dibeli pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah bilik pada suhu biasa.
"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria Salmonella. Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi tuan rumah mahu memasaknya kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak mencukupi," katanya pada sidang media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), petang semalam.
Dr Ismail berkata, mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan secara teruk.
Setakat ini, katanya, 200 mangsa mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sekitar daerah ini dan daripada jumlah itu 127 pesakit mendapatkan rawatan di HSAH dengan 38 dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, 127 lagi pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Yan dengan 62 ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan selebihnya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.
Katanya, seorang pesakit lelaki berusia 58 tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
"Sebanyak 18 kes pesakit dirujuk ke Hospital Sik dan Baling ekoran keadaan Hospital Yan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai. Saya nasihatkan mangsa yang mempunyai simptom keracunan makanan selepas makan kenduri di rumah tersebut tampil mendapatkan rawatan segera.
"Saya berharap pengendali makanan untuk kenduri menyimpan makanan atau bahan mentah secara betul dan menitikberatkan aspek keselamatan makanan supaya perkara sama tidak berulang," katanya.
Kelmarin, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas menghadiri majlis kenduri kahwin itu manakala seorang lagi meninggal dunia semalam.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari kelmarin dan Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 petang.
Seorang lagi mangsa, Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Semalam, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok disahkan meninggal dunia jam 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH pagi kelmarin. – Bernama, 2 Oktober, 2013.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Ayam masak merah tercemar bakteria Salmonella punca keracunan di kenduri kahwin"

Post a Comment

Close