Sebahagian daripada siling berhampiran wad bersalin Hospital Serdang dilaporkan runtuh pagi tadi. Menurut sumber di hospital kerajaan tersebut, tiada kecederaan dilaporkan ekoran kejadian yang berlaku pada jam 2.55 pagi itu.
Ini merupakan kejadian runtuhan kali ketiga sejak 2011 dengan empat orang dilaporkan cedera dan seorang cedera teruk pada 2012.
Walaubagaimanapun, menurut sumber berkenaan, terdapat "lebih daripada 10 kejadian" yang tidak dilaporkan kepada umum dan dirahsiakan.
Apabila dihubungi, pengarah hospital berkenaan, Datuk Dr Ardi Awang mengesahkan kejadian hari ini namun mengecilkan tahap keseriusan isu tersebut.
"Ya, memang ada terjadi, tetapi hanya serpihan siling sahaja jadi saya rasa tak perlu kamu semua dari pihak media mahu melaporkan perkara ini," Ardi memberitahu Astro AWANI.
Tambah beliau, tiada kecederaan dilaporkan. Pada 13 Ogos 2013, tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang dilaporkan cedera apabila 15 keping papan siling bersaiz 2 kali 2 kaki di jabatan itu runtuh pada 2.45 pagi.
Ardi kemudiannya berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas satu skru yang mengikat lantai siling itu tercabut, menyebabkan siling yang bercantum antara satu sama lain runtuh serentak.
Runtuhan itu menyebabkan seorang jururawat menerima jahitan di tangan manakala yang lain cedera di kepala dan belakang badan.
Kejadian pertama dilaporkan pada Januari 2011 sekitar tengah malam yang melibatkan lobi utama dimana tiada kecederaan dilaporkan.
Hospital tersebut mula beroperasi sejak Disember 2005 dan dibina khusus untuk menampung sekitar 570,000 penduduk Serdang, Putrajaya, Kajang dan Bangi.
Hospital yang menelan belanja sebanyak RM690 juta ini merupakan antara matlamat kerajaan dalam menjadikannya salah satu rangkaian e-hospital ~astroawani
0 Response to "Siling Hospital Serdang Runtuh Buat Kali Ke 3"
Post a Comment