Pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak terkejut dengan sambutan dingin ke atas filem yang berlatar belakangkan sejarah kerana tahu selera penonton tempatan lebih ke arah genre seram dan komedi.
"Kenyataannya kami menjangkakan filem ini kurang mendapat sambutan dan kutipannya pula tidak mungkin akan pecah panggung. Tetapi kami tetap meneruskannya kerana ia wajar dilakukan,"katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Beliau berkata, kritikan yang tidak pernah surut sejak Tanda Putera ditayangkan menjadi antara sebab pengarah tempatan mengelak untuk membikin filem lebih serius dan berdasarkan kisah sebenar seperti Tanda Putera yang menelan kos RM4.8 Juta.
"Kami akan menentang arus ini. Ia bukan satu yang mustahil menghasilkan filem sejarah tanpa menerima geran dari kerajaan," katanya yang pernah membikin filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara.
Tanda Putera tidak mendapat kutipan pecah panggung pada minggu pertama dan tayangannya kini ditukarkan ke pawagam kecil dengan tempat duduk terhad.
Filem yang mengandungi adegan percetusan kaum 13 Mei yang didakwa meragukan memulakan tayangannya di seluruh negara pada 29 Ogos lalu dan hanya hanya mampu mengutip RM500,000 sepanjang tempoh penayangan filem itu.
Shuhaimi berkata, beliau sedar filem berkisarkan sejarah tidak akan berjaya di panggung negara ini dan filem sejarahnya sebelum ini, Hati Malaya 1957 juga turut menerima nasib sama apabila hanya berjaya mengutip RM760,000 hasil jualan tiket berbanding kosnya mencecah RM3.6 juta ringgit.
Hati Malaya 1957 menekankan perjuangan Perdana Menteri Ketiga Dato Onn Jaafar yang bergelut untuk menanamkan semangat kenegaraan menentang Malayan Union pada 1956
Seperti Tanda Putera, Hati Malaya mendapat peruntukan dari kerajaan .
"Ia amat memalukan dan menyedihkan," kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof memberi reaksi terhadap sambutan filem itu.
Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.
Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.
Shuhaimi pada awalnya berkata, kekurangan sambutan penonton pada pembukaan filem kerana ia ditayangkan pada waktu bekerja.
Walaupun menerima banyak kritikan yang negetif termasuk dari pihak media dan pemimpin politik, Shuhaimi berkata, beliau tetap berbangga apabila filem ini mendapat pulangan yang boleh tahan bagi filem sejarah.
Shuhaimi berkata, penayangan serentak antata Tanda Putera dan Kl Zombie memberi saingan yang besar kepada filemnya.
"Seorang pengarah memberitahu saya ia adalah membunuh, namun kita ambil sebagai cabaran kerana ini realiti selera penonton tempatan. Kita berjuang untuk penonton sebaik yang boleh," katanya.
Bagaimanapun, katanya, filem berkisarkan sejarah ini tidak akan ada tamat tempohnya dan mempunyai nilai yang tinggi.
"Sebagai contoh ia boleh digunakan oleh stesen televisyen. Saya berharap penonton tempatan akan dapat mengubah selera mereka daripada terus hanya menyukai genre seram dan komedi," katanya.
Tanda Putera mencetuskan kontroversi apabila ada adegan di dalamnya dikatakan mengandungi unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Ia mendapat kritikan hebat daripada DAP dan MCA kerana filem itu dikatakan seolah-olah menyalahkan kaum Cina sebagai pencetus tragedi 13 Mei 1969. ~
the malaysian insider
0 Response to "Suhaimi Baba Dedah Ramuan Kegagalan Filem Tanda Putera"
Post a Comment