Biadap!! Anwar Berang Penahanan A. Samad Said Di Tengah Malam




Penahanan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada 12.40 pagi tadi mencetuskan kemarahan pengguna di laman sosial, dan kebanyakannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penahanan itu.

Antara yang berang ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan polis itu sebagai biadap kerana mengheret Samad pada tengah malam.


"Tindakan biadab! A Samad Said umur 80 tahun diheret jam 12 malam?" Reaksi Anwar dalam laman Twitternya ketika mengetahui Samad ditahan .


Anwar turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada sasterawan negara itu.

Dalam Twitternya, Anwar berkata, menteri dalam negeri wajib mohon maaf kepada kepada Samad kerana pada usianya 80 tahun, beliau dibawa tiga polis pada jam 12 tengah malam ke ibu pejabat polis.

"Tak dapat soal siasat siang hari? Perikemanusiaan?" katanya dalam Twitter.

Tindakan polis menahan Samad turut dikritik rakan seperjuangannya dalam Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0.

"Pak Samad, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi. Layanan yang mengejutkan dalam menghormati sasterawan negara," memetik dari laman twitter Ambiga.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kini berada di Sibu turut mengutuk tindakan polis.

"Penahanan yang dibuat pada polis merupakan satu kebiadapan ia mesti dikutuk oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Manakala seorang pengguna sosial, Radin Shamsulkamar @radins berkata dalam twitternya : "Kalau Pak A Samad Said berjalur Umno, nescaya PDRM tidak akan bertindak semustahil ini."

Komen twitter itu turut dihantar kepada Zahid Hamidi dan Ketua Polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Zaim Al Amin @zaimhq : "Sasterawan negara berusia 80 tahun dibawa ke Balai Polis pada waktu malam untuk disiasat."

Semalam, Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 12.40 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya.

Sasterawan negara itu disoal siasat selama hampir dua jam selepas tiga anggota polis mengambilnya di rumah berhubung insiden pada malam ambang kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

"Pak Samad dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi selepas keterangannya diambil," kata aktivis, Adam Adli Abdul Halim kepada The Malaysian Insider.

Samad diwakili peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Latheefa memberitahu The Malaysian Insider, Samad disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 505, Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis turut menahan dan menyoal siasat aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan 1948 semalam.

Insiden kibaran bendera Sang Saka Malaya itu turut tersebar dalam laman sosial Youtube.

Berlaku ketegangan apabila kelibat seorang pemuda yang menjerit kepada kumpulan tersebut berkata "Itu bendera Malaysia."

Selain itu, tiga bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul manakala Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa polis mengenakan tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap kumpulan yang mengibarkan Sang Saka Malaya. ~the malaysian insider

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Biadap!! Anwar Berang Penahanan A. Samad Said Di Tengah Malam"

Post a Comment

Close