Oleh kerana tempoh lebih 10 jam untuk makan di antara waktu berbuka puasa dan menjelang subuh, kita boleh memaksimakan tempoh ini dengan beberapa petua berguna.
Dehidrasi
Minumlah air dengan secukupnya sepanjang tempoh ini untuk mengelakkan dehidrasi dan mencegah sembelit atau gastritis yang kebanyakannya berpunca daripada dehidrasi kronik.
Perkara lain yang penting dan perlu dilakukan adalah mengelakkan minuman mengandungi kafein seperti kopi, teh atau koko yang boleh mengurangkan kandungan air badan dan merupakan punca kehilangan lebih banyak bendalir dari badan.
Berpuasa biasanya boleh menambahkan tahap keasidan gastrik yang menyebabkan kepedihan, kesesakan dalam perut dan mulut yang terasa masam. Ini boleh diatasi dengan memakan makanan yang kaya dengan serat seperti sayuran, kekacang dan buah-buahan. Makanan seperti ini juga merangsang tindak balas otot.
Mengunyah dan memecahkan makanan ini kepada partikel kecil boleh membantu mengurangkan pembinaan asid dalam perut. Bagi golongan yang mengalami keasidan perut yang sangat tinggi, mereka boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan pengambilan nasi dan makanan lain yang berasaskan karbohidrat.
Ambillah makanan yang kaya dengan protein terutamanya daging merah atau protein berasaskan daging ketika bersahur. Ini akan dapat membantu mengurangkan perut kosong untuk tempoh yang lebih lama dan melambatkan rasa lapar.
Akan tetapi, kepada golongan yang bukan terlibat dalam kategori ini (keasidan perut sangat tinggi), memakan terlalu banyak daging akan mengakibatkan kesan berlawanan dan boleh mengakibatkan tahap kesihatan anda tergugat.
Nutrien Mencukupi
Pengambilan nutrien yang tidak mencukupi juga boleh mempengaruhi puasa seseorang. Semasa berpuasa, mereka yang berumur adalah golongan yang lebih berkemungkinan kekurangan kebanyakan zat makanan kerana pengambilan makanan yang berkurangan. Kebanyakan daripada mereka mendapati sukar untuk mengambil makanan dalam jumlah yang sepatutnya ketika berbuka puasa.
Mereka juga makan dalam jumlah kecil semasa bersahur kerana kurang selera pada masa itu. Adalah penting untuk mengambil jumlah karbohidrat, protein dan lemak diet yang seimbang.
Makanlah banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan ulaman yang segar kerana ia mengandungi banyak fitonutrien dan vitamin.
Hadkan pengambilan nasi putih, mi dan roti putih kerana makanan tersebut mengandungi kalori yang tinggi dan nilai nutrisi yang rendah. Pengambilan nasi dan roti perang secara sederhana adalah pilihan yang lebih baik.
Diet yang mengandungi protein adalah penting untuk membantu pemeliharaan jisim otot seseorang. Pilihan yang sihat merangkumi ikan, ayam tanpa kulit dan minuman soya berkualiti tinggi.
Sistem Penghadaman
Enzim penghadaman dan berbagai-bagai jenis bakteria boleh menggalakkan sistem penghadaman yang sihat sementara memelihara kesihatan persekitaran saluran gastrousus untuk membantutkan perkembangan bakteria penyebab penyakit, yis dan virus. Satu lagi bahan komponen iaitu Fructo-oligosaccharides (FOS) juga berfaedah dalam modulasi ekologi mikrob di dalam perut dengan menggalakkan daya ketahanan dalam perut.
Makanan yang kita makan pada waktu berbuka puasa adalah penting. Diet ketika berbuka biasanya mengandungi kalori, gula, garam, kolesterol dan lemak yang berbahaya tetapi rendah nilai nutrisinya (lemak tepu dan lemak trans).
Lemak tepu dan lemak trans adalah faktor utama dalam peningkatan kolesterol darah. Sumber utama lemak tepu ketika berbuka adalah seperti makanan bergoreng, rendang dan lemak gulai yang kaya dengan santan kelapa.
Lemak trans yang dijumpai dalam kebanyakan jenis kek, biskut dan kuih-muih yang boleh meningkatkan jumlah kolesterol 'tidak baik' (LDL) dan menurunkan kolesterol 'baik' (HDL). Bukti saintifik menunjukkan pengambilan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol dalam makanan boleh meningkatkan takat lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau 'kolesterol tidak baik', yang kemudiannya meninggikan risiko penyakit jantung koronari (CHD).
Pada kebiasaannya, minuman ketika berbuka adalah seperti sirap bandung dan air jagung sementara minuman panas yang manis menjadi pilihan biasa ketika bersahur. Cuba kurangkan minuman manis ini. Sebaliknya minum sekurang-kurangnya 8 gelas air bertapis setiap hari untuk membantu pembersihan dan penghapusan toksin terkumpul daripada badan anda.
Walaupun gula tidak dikaitkan secara langsung dengan diabetis, namun kalori melampau biasanya mengakibatkan berat badan berlebihan dan obesiti, yang merupakan faktor risiko utama diabetis. Dengan demikian, cuba hadkan pengambilan gula dalam diet kerana ia mengakibatkan peningkatan pantas takat gula darah yang mana ia boleh meningkatkan takat insulin.
Banyak bukti menunjukkan kehadiran hiperinsulinemia (takat insulin serum tinggi) sebagai satu punca masalah obesiti hari ini.
Akhirnya, pengambilan suplemen seperti vitamin, mineral, fitonutrien dan asid amino boleh membantu pembekalan pemakanan optima semasa berpuasa.
Kesimpulannya, pengambilan diet seimbang adalah penting untuk memelihara kesihatan, mengekalkan gaya hidup aktif dan memanfaatkan sepenuhnya puasa pada bulan Ramadhan.
0 Response to "Menangani Masalah Kesihatan Ketika Berpuasa...."
Post a Comment