Memperkasa Jiwa Merdeka - Azmin Ali

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara Malaysia yang tercinta ini telah mencapai usia 52 tahun kemerdekaan. Untuk sesebuah negara, 52 tahun adalah satu usia yang masih muda dan mentah. Namun, kita wajar berbangga kerana negara kita berjaya mendepani pelbagai cabaran semenjak merdeka. Sebagai anak Malaysia yang merdeka dan cintakan tanah airnya, saya merasa terpanggil untuk memastikan pengisian kemerdekaan ini akan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya. Pengisian itu mestilah kembali kepada intipati pengisytiharan kemerdekaan oleh YAM Tunku Abdul Rahman pada tarikh keramat yang telah melafazkan:
“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”
-Pengisytiharan Kemerdekaan,31 Ogos 1957-
Namun 52 tahun selepas lafaz keramat ini, intipatinya hanya menjadi siulan bisu yang sengaja dipekakkan dalam lipatan sejarah. Anak muda Malaysia tidak langsung diperkenalkan pada hakikat batu asas kemerdekaan negara ini. Pencabulan dan pelacuran batu asas pembentukan negara ini terus menerus dilakukan sang penguasa. Hak asasi rakyat dinafikan, salahguna kuasa makin berleluasa dan penyelewengan institusi kerajaan masih berterusan walaupun rakyat telah bangkit menuntut satu reformasi.


Banyak perdebatan mengenai generasi hari ini yang semakin laih dan lesu jika dibandingkan dengan gerakan belia di zaman 70-an. Gerakan mahasiswa hampir setengah abad yang lalu dilihat berani mencabar pemerintah yang tidak “connect” dengan rakyat. Sejarah mencatatkan demonstrasi yang dipimpin oleh mahasiswa termasuk Saudara Anwar Ibrahim mencabar dasar bahasa, amalan rasuah dan kemiskinan petani di Baling.


Saya berpendapat pendekatan anak-anak muda hari ini tidak semestinya sama dengan kaedah yang diambil oleh mahasiswa di zaman Anwar Ibrahim. Tetapi generasi selepas kemerdekaan mesti berpegang teguh kepada idealisma perjuangan dan cita-cita murni untuk memperkasa wacana ilmu dikalangan rakyat Malaysia.Generasi muda hari ini adalah conscience of the majority. Generasi muda harus memperkemas pengisian kemerdekaan dengan berani menjana perubahan dan memperjuangkan hasrat dan damir rakyat. Ayuh bangsaku Malaysia. Anak muda bukan sahaja dikaitkan dengan umur. Jiwa anak muda yang merdeka akan terus menyerang rasuah dan Sang Perasuah, penyelewengan serta mencabar pegangan yang sudah lapuk dan apa sahaja yang tidak tepat.


Puisi ‘Burung Rajawali’ nukilan WS Rendra menegaskan bahawa burung Rajawali terbang gagah di angkasa. Ketika disumbat dalam sangkar, burung Rajawali tetap Rajawali ! Lihat sahaja pejuang rakyat kita, Saudara Anwar Ibrahim. Tatkala Sang Penguasa bertindak zalim terhadap beliau dan terpaksa merengkok di sebalik tembok kezaliman selama 7 tahun tetapi jiwa Anwar tetap merdeka. Vaclav Havel menulis orang yang memenjara itulah sebenarnya jiwanya dalam penjara.


Edmund Burke, seorang pemikir Barat membahaskan, “Dalam sistem yang bobrok, kejahatan pasti menang lantaran orang yang baik lembap, laih dan longlai. Enggan challenge the forces of evil. Maka perasuah dan kezaliman akan bermaharajalela”. Budaya ini turut menarik perhatian penulis Julian Benda yang mengaitkannya dengan pengkhianatan intelektual lantaran warga ilmuan tidak mempunyai keupayaan untuk mengungkap kebenaran dan keadilan. Adalah menjadi tragedi apabila masyarakat yang berilmu sanggup diperkudakan untuk mempertahankan undang-undang yang zalim.


Politik harus menggunakan jalur dakwah. Saya bersetuju dengan maksud yang lebih jelas di mana politik adalah wadah untuk menjelaskan apa itu keadilan dan kebenaran; apa itu Negara Hukum; apa itu demokrasi; apa itu hak asasi dan bukannya menggunakan politik untuk memunggah kekayaan dan hasil mahsul negara untuk kepentingan keluarga dan kroni?.


Saya punyai harapan yang tinggi untuk anak-anak Malaysia sempena sambutan Ulangtahun ke 52 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Kita boleh. Ya kita boleh memakmurkan negara ini untuk semua rakyat Malaysia.


AZMIN ALI

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Memperkasa Jiwa Merdeka - Azmin Ali"

Post a Comment

Close