Gandakan bersedekah dan bertadarus-Tazkirah Ramadhan

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:

Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:

"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Para salafussoleh adalah antara umat Nabi s.a.w yang diiktiraf sebagai generasi terbaik. Terdiri daripada kalangan mereka para sahabat baginda s.a.w, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Mereka amat mengambil berat amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan sudah menjadi kelaziman bagi mereka mengkhatam al-Quran berkali-kali pada bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan di mana pintu Rahmat (kasih sayang) dan pintu keampunan Allah dibuka seluas-luasnya serta ganjaran pahala dilipat gandakan kepada hamba-Nya tanpa batasan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan kepada-Nya kerana pahalanya akan digandakan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.

Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah haji. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." - Hadis riwayat al-Bukhari

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Gandakan bersedekah dan bertadarus-Tazkirah Ramadhan"

Post a Comment

Close