KedahLanie..!!: Bendung segera buang bayi

Bendung segera buang bayi

GEJALA membuang dan membunuh bayi serta kanak-kanak di negara kita semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Seolah-olah perbuatan membuang dan membunuh bayi itu seperti satu dosa yang sangat kecil.

Apakah mereka berfikir dengan membuang atau membunuh bayi mereka itu akan dapat menyelesaikan segala dosa yang mereka lakukan selama ini?

Mereka harus sedar, mereka sudah melakukan dosa bertingkat-tingkat.

Akibat daripada perbuatan mereka, masyarakat akan menerima bala yang sangat besar sekiranya masyarakat terus membiarkan perbuatan dosa tersebut.

Akibat pergaulan terlampau bebas antara lelaki dengan perempuan melahirkan atau menghasilkan anak luar nikah. Malangnya, anak hasil perbuatan haram mereka itu dipandang oleh mereka dengan seribu satu kebencian.

Sebaliknya, semasa mereka bersekedudukkan secara haram atau tidak sah, mereka melakukannya tanpa rasa bersalah.

Apabila anak hasil hubungan tidak sah lahir, mereka membencinya pula maka mereka meletakkan beban kepada masyarakat dengan cara membunuh atau membuang bayi tersebut di tempat pembuangan sampah, longkang, pekarangan tempat ibadat dan sebagainya.

Saya berpendapat perbuatan mereka itu sudah tiba masanya dibendung segera. Negara kita bukanlah tempat membiakkan anak perbuatan haram. Anak tersebut tidak berdosa. Mereka telah melakukan dosa bertingkat-tingkat.

Maka saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menyekat segera gejala tersebut. Jumlah mereka yang melakukan perbuatan tersebut masih belum ramai.

Sebelum bertambah maka hukuman maksimum hendaklah dikenakan kepada mereka. Contohnya seperti meletakkan mereka di satu kawasan khas sehingga pulih dan kembali taat kepada agama.

Anak tersebut diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Agama dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menubuhkan tempat khas di mana wang boleh diambil dari hasil sumbangan orang ramai.

Lelaki yang terbabit pula hendaklah dihadapkan dengan hukuman rotan kerana tidak bertanggungjawab.

Hukuman bagi pendera kanak-kanak sehingga mati ialah mati mandatori.

Apa pun, tanggungjawab manusia ialah menjaga kesucian keturunan mereka. Jika tidak, keturunan mereka akan dihina akibat perbuatan hina mereka juga.

Sebagai manusia, Allah SWT mengkehendaki kita bertaubat sebelum azab datang sebagaimana firman-Nya:

Barang siapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barang siapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri.

Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul. (Al Israa’ ayat 15)

REZA ALJUNAID,

Jelebu, N. Sembilan

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "KedahLanie..!!: Bendung segera buang bayi"

Post a Comment

Close