Jam tiga petang ini, Majlis angkat sumpah 'menteri besar' baru Perak akan diadakan. Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Perak awal-awal lagi menyatakan akan memboikot majlis tersebut. Satu tindakan yang tepat berdasarkan Pelembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Apa perlu mereka hadir jika majlis yang diadakan tidak mengikut pelembagaan. PR Perak hanya menunggu majlis angkat sumpah itu diadakan untuk selepas ini mencabar dan memfailkan injuksi perintah mahkamah untuk mengesahkan bahawa apa yang dipertahankan oleh MB Perak Dato Seri Nizar Jamaludin adalah tidak bertentangan dengan prinsip perundangan. ( Sila rujuk posting saya sebelum ini untuk mengetahui prosedur pelantikan MB Perak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak).
Prosedur melantik MB Perak adalah berbeza dengan untuk meminta MB sedia ada melepaskan jawatan.
Umno hanya memainkan isu 'derhaka' kepada Nizar dan PR tetapi mereka tidak mampu berhujah dari sudut perundangan. Saya cukup yakin isu 'derhaka' ini akan dimainkan oleh media dan Umno untuk menutup tindakan tidak bermaruah dan ala samseng mereka untuk merampas kerajaan PR yang diberi mandat oleh rakyat.
Tengku Razaleigh sendiri menyifatkan tindakan Umno sesuatu yang memalukan kerana menggunakan pendekatan yang bakal merugikan Umno sendiri apabila kes ini akan dibawa ke mahkamah.
Tun Dr Mahatihir sendiri menyifatkan tindakan Umno menyebabkan imej Umno semakin merudum di kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi menerima mereka yang terlibat dengan tuduhan rasuah dan skandal seks ke dalam Umno.
Apa yang lebih memalukan tindakan Umno juga tidak dipersetujui oleh parti komponen mereka sendiri seperti MCA dan MIC. Ada kita dengar kenyataan pemimpin MCA dan MIC menyokong Umno dalam isu di Perak?
Apa yang dilakukan oleh Umno ibarat hanya menang sorak, untung secupak bakal rugi seguni.
Dalam isu ini, PR perlu berhati-hati dan sentiasa bersikap matang dan rasional. Saya cukup yakin ada pihak sengaja ingin mencetuskan suasana gawat dan huru-hara di Perak dan negeri-negeri lain di bawah PR. Appabila wujud huru-hara mereka pasti akan menunding jari dan meletakkan apa yang berlaku kepada PR.
Dalam keadaan sekarang Umno cukup gerun untuk berhadapan dengan pilihanraya sama ada pilihanraya kecil atau umum kerana mereka sudah dapat menduga apa yang bakal berlaku. Umno hanya boleh menang dan berkuasa dengan pintu belakang tanpa mengikut lunas-lunas perundangan dan pelembagaan negara.
Semua pihak dalam PR di semua peringkat terutama jentera pilihanraya perlu bersiap sedia tentang kemungkinan besar pilihanraya kecil di Perak atau umum diadakan. PR tidak perlu melayan setiap provokasi dan helah Umno sebaliknya perlu fokus untuk memantapkan PR dalam setiap aspek untuk mendapat kepercayaan dan mandat dari rakyat.
Posted by angkasanuri
0 Response to "KERAJAAN TIDAK BERMARUAH TERBENTUK DI PERAK?-Malaysiakini"
Post a Comment