KOTA BHARU: Kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan (MERAK) menafikan ada kaitan dengan NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar).
Presidennya Azaizuree Ahmad berkata, tindakan pihak tertentu memakai baju berlogo Merak dalam perarakan Tukar anjuran Umno bahagian Rantau Panjang baru-baru ini amat dikesali.
“Kami tidak ada kena mengena dengan program dianjurkan Umno Rantau Panjang baru-baru ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar di Kota Darulnaim hari ini.
Sehubungan itu beliau juga meluahkan lebih 3,200 anak muda Kelantan yang bergabung di bawah Merak tetap berdiri teguh di belakang kepemimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya juga kejayaan MERAK mendekati anak-anak muda dengan aktiviti bermotosikal cuba diambil kesempatan pihak tertentu dengan meniru program serupa.
“Tindakan pihak terbabit mengambil kesempatan atas kejayaan MERAK amat tidak wajar sekali. Mereka cuba memperalatkan seorang dua ahli MERAK di atas kepentingan politik sempit mereka amat dikesali,” katanya.
Turut serta pada pertemuan tersebut 40 wakil MERAK dari setiap jajahan. MERAK diasaskan kerajaan Kelantan sebagai usaha membendung gejala sosial terutamanya lumba haram (rempit).
Azaizuree berkata, MERAK yang ditubuh tiga tahun lepas sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan sering mendekati anak muda terutamannya mat-mat rempit.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah berkata, penubuhan MERAK bertujuan mengumpul anak-anak muda yang suka merempit di jalan raya.
Katanya juga kerajaan berusaha menyediakan kawasan khas untuk membolehkan anak-anak muda merempit di tempat khas tanpa melibatkan orang awam.
“Insya-Allah kawasan seluas 30 ekar sudah ada dan kita masih menunggu kos sebenar untuk pembinaan litar tersebut,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan dengan Merak termasuk Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Ketua Pemuda, Hafiz Musa serta Pengarah Urusetia Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Insan, Abdul Aziz Yunus.
HarakahDaily
0 Response to "Umno terdesak perarakan T guna logo Merak"
Post a Comment