KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil
Azlan Mohd Lazim iaitu bapa Mohd Saiful Bukhari, dalam masa terdekat
untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya semalam, kata Timbalan
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.
“Dalam kes itu, Azlan tidak pernah
dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun,
keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak
jelas.
“Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan
tidak boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan
program ‘Bersatu Memerangi Jenayah’ di Kuchai Lama hari ini.
Semalam, bapa Saiful Bukhari tampil
memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu ‘konspirasi politik
jahat’ untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.
Sementara itu, di SERI MANJUNG, Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata rakyat
perlu adil dalam menilai kenyataan Saiful dan dakwaan bapanya berkaitan
pertuduhan liwat terhadap Anwar.
“Saya terkejut bapa dia tuduh
macam-macam kerana Saiful yang jadi mangsa. Rakyat kena adil kepada
orang yang mendakwa menjadi mangsa, bukannya hanya nak bercakap,
memfitnah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis
Perasmian Pasar Komuniti dan Karavan Daerah Manjung hari ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Selangor itu meminta pembangkang tidak mengambil kesempatan memperguna
Azlan dalam isu tersebut kerana bapa Saiful mengaku tidak mengetahui apa
yang berlaku.
“Dia hanya mendengar daripada
perbicaraan, dan dia pernah merungut dengan mengatakan bahawa pihak
kerajaan tidak berjumpa dengannya,” katanya.
Saiful berpegang teguh pada sumpah
laknatnya sebelum ini bahawa beliau pernah diliwat Anwar, sekali gus
menolak dakwaan Azlan kononnya pertuduhan terhadap Anwar itu adalah satu
fitnah.
Saiful berkata beliau percaya isu itu
sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu
‘pengkhianat negara’ berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah
ketika ini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul pula berkata kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan.
“Saya yakin rakyat tertanya-tanya
mengapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan. Adakah ini cubaan
pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih
besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah?,”
katanya.
Beliau berkata beberapa pemimpin
pembangkang turut mengeluarkan kenyataan tweet ‘kantoi’ kepada pihak
kerajaan sebagai respons mereka untuk menyokong kenyataan Azlan.
“Perlu diingat mungkin perkara ini akan
berbalik kepada pembangkang juga apabila memainkan isu ini dengan niat
untuk meraih sokongan rakyat,” katanya. – Bernama
0 Response to "Polis akan panggil bapa Saiful beri keterangan !"
Post a Comment