Stadium runtuh: Kerajaan dicabar dakwa Raja Bahrin


Raja Bahrin berucap pada satu majlis bersama muslimat di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Arkitek terkenal dari Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mencabar kerajaan agar mendakwa beliau ekoran keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

"Sekarang ini tersebar dalam internet bahawa saya terlibat dalam merekabentuk stadium yang runtuh ini.

"Saya mengaku memang saya terlibat dalam merekabentuk stadium ini. Tetapi suka saya sebut bahawa kami telibat dalam mereka bentuk stadium ini tetapi hingga konkrit saja.

"Untuk bumbung, design dan build, ia dibuat terus oleh syarikat dari Korea," kata Raja Bahrin.

Beliau memberi jaminan akan mendedahkan sepenuhnya projek ini dalam mahkamah (jika didakwa) kerana di luar sebagai pihak yang terikat dengan kontrak, beliau tidak boleh mendedahkan segala dokumen yang terlibat.

"Saya telah beberapa kali menghantar surat meminta pihak kerajaan memberitahu siapakah orang yang terlibat membuat rekabentuk bumbung yang memang dibawa dari Korea ini sampai sekarang,” ujarnya.

Raja Bahrin kesal dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang mempersalahkan semua pihak yang terlibat dalam keruntuhan bumbung stadium ini.

(Raja Bahrin menunjukkan surat-surat yang beliau terima yang menyatakan beliau tidak bersalah ekoran runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak)

"Yang runtuh bumbung, bukan bangunannya. Jadi tidak boleh pakai borong," katanya.

Beliau memberikan contoh sebuah kapal berlanggar di tengah lautan tidaklah boleh dipersalahkan semua pihak yang ada dalam kapal itu.

"Yang salahnya kapten kapal bukan tukang masak yang juga berada dalam kapal itu," katanya.

Raja Bahrin menjelaskan perkara ini dalam satu majlis dengan Muslimat PAS Bukit Besar, Kuala Terengganu menjelang pilihan raya umum ke 13 ini apabila ditanya oleh seorang yang hadir di majlis itu.

Raja Bahrin disebut-sebut bakal menjadi calon PAS untuk Parlimen Kuala Terengganu. Turut serta di majlis itu adalah isteri beliau Toh Puan Noryn Aziz.

Selepas majlis itu, beliau menunjukkan surat-surat yang beliau terima dari Persatuan Arkitek Malaysia dan beberapa pihak lagi yang membebaskan beliau dari kesalahan akibat keruntuhan bumbung stadium itu.
Surat-surat itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Arikitek Malaysia (PAM) yang diterima pada 1 Ogos 2010, Lembaga Arkitek Malaysia yang diterima pada 11 November 2010 dan Warta LAM yang disiarkan pada Disember 2010.

Ketiga-tiga dokumen ini menyatakan Raja Bahrin selaku arkitek yang merekabentuk stadium ini tidak bersalah.

Sejak mula

Menurut Raja Bahrin, pihaknya selaku arkitek yang merekabentuk stadium itu telah dapat mengesan masalah pada bumbungnya sejak ia mula siap dibina lagi.

"Kami nampak bumbungnya lenduk (melengkung ke bawah) dan senget sejak ia siap dipasang lagi. Kami telah membuat laporan kepada pihak berkenaan tetapi ia tidak diambil tindakan," katanya.
Ketika itu, katanya, alasan yang diberikan ialah untuk membolehkan ia digunakan untuk Sukma.

(Bumbung stadium yang runtuh bukan bangunannya)

Selepas runtuhan berlaku, pihaknya juga meminta pihak berkenaan menyatakan siapakah orang yang bertanggungjawab merekabentuk bumbung itu.

"Mereka hanya kata orang Korea. Sampai sekarangpun namanya tidak diberikan," kata Raja Bahrin.

Katanya, runtuhan kedua yang berlaku baru-baru ini akibat dari pekerja tempatan tidak memahami sistem yang digunakan oleh syarikat dari Korea itu.

"Sepatutnya syarikat dari Korea itulah yang membuka balik bumbung itu kerana mereka yang memahami sistem pemasangannya.

"Ini tidak, selepas mendapat 3 - 4 juta ringgit, mereka senyap berada di Korea," katanya yang memaklumkan syarikat yang dipilih oleh kerajaan negeri untuk membuat bumbung itu syarikat kecil sahaja.

Beliau mengakui, ketika perancangan pembinaannya, Exco kerjaraya Terengganu pada masa itu berulang alik ke Korea bersama dengan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri yang berkaitan.

"Inilah bahagian yang perlukan penyiasatan mendalam," katanya.

Raja Bahrin juga mempertikaikan kontrak merekabentuk dan memasang bumbung tidak dibuat secara langsung antara kerajaan negeri sebagai pemilik dengan syarikat Korea berkenaan.

Ia dibuat antara kontraktor induk yang dikatakan kroni Umno dengan syarikat Korea itu.

"Macam kita buat rumah. Kontraktor induk buat rumah tetapi untuk penghawa dingin (aircond) garentinya diberikan oleh pembuat aircond itu bukan kontraktor rumah. Kalau rosak aircond, pembuat aircond yang salah bukan kontraktor rumah itu," katanya.

Menurut Raja Bahrain lagi, ketika timbul masalah ini, beliau meminta kerajaan negeri menyelesaikannya dengan syarikat Korea itu.

"Apabila timbul masalah, saya dah kata saman syarikat Korea itu tetapi tidak. Yang dipersalahkan adalah seorang jurutera tempatan yang nenandatangani kontraknya.

"Bagi saya dia hanya kambing hitam sahaja bukan pihak yang bersalah sebenarnya," beritahu Raja Bahrin.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Stadium runtuh: Kerajaan dicabar dakwa Raja Bahrin"

Post a Comment

Close