PKR batal hasrat calonkan Asri pada PRU13?




Tokoh agama terkenal Datuk Dr Asri Zainul Abidin, yang diura-urakan bertanding atas tiket PKR, kemungkinan besar tidak jadi dicalonkan oleh parti tersebut.

Sumber-sumber PKR memberitahu Malaysiakini, Dr Asri dianggap tidak serius untuk bertanding selepas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dua minggu lepas.

Pada masa yang sama, Dr Asri sendiri dikatakan sudah membuat keputusan muktamad dengan menolak tawaran itu walaupun dijanjikan kerusi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.
Sumber-sumber PKR memberitahu, parti itu mahukan komitmen segera daripada bekas mufti Perlis itu kerana pembubaran Parlimen dijangka diumumkan penghujung bulan ini.

Difahamkan tawaran kerusi timbalan ketua menteri itu dibuat oleh Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam pertemuan empat matanya dengan ulama muda itu sebelum ini.
Dr Asri sendiri malam tadi mendedahkan dalam mesej di akaun Twitternya tentang pertemuan dengan perdana menteri.

Bagaimanapun butiran perbincangan di pertemuan kedua-duanya tidak dinyatakan dengan jelas sama ada berkaitan pencalonan dalam pilihan raya umum atau hal-hal lain.

"Dua minggu lepas, YAB PM jemput saya ke pejabat beliau sendirian. Saya beri pandangan-pandangan saya dan beliau dengar dengan teliti. Saya hargai sikap itu," kata Dr Asri dalam twitnya.

Surat-menyurat pertemuan

Menurut sumber PKR lagi, parti itu tidak selesa dengan sikap Dr Asri yang berhubung dengan Najib sewaktu rundingan kerusi dengan parti itu sedang berjalan.

Difahamkan surat-menyurat pertemuan Dr Asri dengan perdana menteri pernah ditunjukkan kepada beberapa pemimpin PKR.

Antaranya, surat pihak Najib itu menyebutkan pertemuan itu diatur di pejabat perdana menteri pada petang 28 Februari lalu oleh seorang pegawai pemimpin tersebut.

Namun, Dr Asri sendiri mempunyai sejarah hubungan dengan beberapa tokoh politik BN dan Pakatan Rakyat sejak bertahun-tahun lalu lagi.

Muncul melalui kegiatan PAS zaman mahasiswanya, beliau dilantik mufti Perlis sewaktu Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai menteri besar sebelum digugurkan selepas pilihan raya 2008.

Selain mengekalkan hubungan dengan tokoh Umno itu, Dr Asri juga dikatakan bertemu dengan pemimpin-pemimpin PAS dan DAP.

Kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini berminat mencalonkan beliau.

Malaysiakini difahamkan, DAP berminat menyerahkan satu kerusi selamat di DUN di Pulau Pinang. Sementara PKR pula ingin meletakkan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu di kerusi Penanti, bawah parlimen Permatang Pauh.

Dr Asri tolak jadi calon, kerusi TKM

Sementara itu, Dr Asri ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi enggan mengulas berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, difahamkan Dr Asri tidak berminat bertanding dalam pilihan raya kerana merasakan langkah itu "tidak sesuai". 

Menurut sumber yang dekat dengannya, beliau juga merasakan masih boleh menyumbang sesuatu walaupun selepas pilihan raya dan tidak menjadi calon.

"Tunggulah era politik baru pasca-PRU13 nanti," kata sumber dalaman itu sambil menambah "Dr Asri akan ada dalam siri berikutnya".

Keputusan muktamad itu dibuat setelah berbulan-bulan PKR memujuk Dr Asri, termasuk menghantar pemimpin-pemimpin tertinggi mereka bagi bertemunya.

Malah, menurut sumber juga, setakat minggu lepas, Dr Asri masih dihubungi oleh seorang naib presiden PKR yang memintanya menimbang bertanding atas tiket PKR.

Selain Dr Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik juga antara dua tokoh ulama muda yang sedang direkrut menyertai Pakatan dalam kempen menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Berbeza dengan Dr Asri, kedua-dua mereka dikatakan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad walaupun pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PKR batal hasrat calonkan Asri pada PRU13?"

Post a Comment

Close