Peralihan kerajaan tidak gugat keamanan - Ghafir



























KETEREH: Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat yakin peralihan kuasa yang dijangka berlaku pada pilihan raya umum ke-13 tidak mengugat keamanan negara.

Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid berkata, pasukan polis diyakini mampu mengawal keadaan sekiranya berlaku perubahan kerajaan.

“Ini kerana difahamkan berdasar risikan pihak keselamatan kemungkinan besar berlaku perubahan kepada politik negara nanti,” katanya pada ceramah Kebangkitan Rakyat bertema Kekal Kelantan Ubah Putrajaya di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh.

Selain itu anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh dan Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood.


Orang ramai terpaksa mengharungi limpahan air di atas jalan menuju ke tempat ceramah. Sebahagian besar di sekitar lokasi tempat ceramah digenangi air hujan.

Dewan tempat berlangsung program ceramah tetap penuh biar pun air melimpah di mana-mana sahaja ekoran hujan lebat tiga hari berturut-turut.

Abdul Ghafir yang berkhidmat sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat selama lima tahun memberitahu difahamkan pasukan keselamatan telah membuat persiapan rapi sekiranya berlaku perubahan kerajaan nanti.

“Begitu juga persediaan bagi majlis angkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong sedang dalam tindakan mereka,” ujarnya.

Berdasar kepada pengalamannya, pasukan tentera akan bertindak secara profesional ketika berlaku perubahan kerajaan kerana mereka taat setia tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit kekacauan namun diyakini masih mampu dikawal anggota keselamatan.

Anwar pula mengulangi tidak ada niat mahu menghukum pemimpin yang pernah menzaliminya sekiranya berlaku perubahan kerajaan nanti.

“Kita tidak ada niat hendak hantar orang itu ke dalam penjara. Tun Dr Mahathir sudah terlalu tua. Lagi pun ada ulama di Kedah menasihatkan saya usah berdendam.

“Namun apa yang pasti kita lakukan tidak lagi memberi projek pada anak-anak Dr Mahathir yang tersenarai sebagai orang yang terkaya di Malaysia.

“Kita boleh agihkan kontrak carigali minyak di perairan Kelantan yang kini dibolot syarikat milik anak Dr Mahathir kepada syarikat lain milik anak tempatan,” ujarnya.

Sementara itu pada sebelah petang Anwar, Abdul Ghafir dan pemimpin-pemimpin PKR Kelantan mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Peralihan kerajaan tidak gugat keamanan - Ghafir"

Post a Comment

Close