Pakatan buktikan perpaduan, tolak perkauman -TG Hadi

 

SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Rakyat telah membuktikan perpaduan dan muafakat yang erat walaupun kadang-kadang berbeza pendapat.

"Kita buktikan perpaduan walaupun bertelingkah, berdebat, boleh berbalah, tetapi kacau gula, kopi dan teh tidak memecahkan cawan itu," katanya yang diikuti tepukan gemuruh lebih 1,500 perwakilan yang memenuhi dewan SACC. 

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar Pakatan Rakyat memelihara perpaduan yang dibina selama ini kerana parti lawan sedia untuk mengambil kesempatan.

"PAS, DAP dan PKR bergaduh, yang kenyang BN," katanya.

Abdul Hadi juga, turut menegaskan lima perkara yang menjadi harapan rakyat di mana Pakatan Rakyat mesti melaksanakannya.

Lima perkara tersebut, perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan perlembagaan dan undang-undang yang adil dan kerajaan yang bersih.

"Inilah harapan rakyat, kita perlu sedar dan faham lima perkara ini yang menjadi harapan rakyat," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat.

Jelas Abdul Hadi, semua kaum yang ada di Malaysia telah menerima hakikat masyarakat majmuk melalui Pakatan Rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU-12 pada 2008 lalu.

"Apabila orang Melayu Islam yang kuat PAS boleh mengundi calon DAP dan PKR dari kalangan bukan Islam. Apabila orang kuat DAP dan berbagai kaum dan agama boleh undi calon PAS dan PKR dari kalangan Melayu Islam. Mereka sedia mengalahkan calon dari bangsa mereka sendiri," katanya.

Senario ini, katanya, Pakatan Rakyat telah berjaya memecahkan fanatik perkauman yang dihidupkan oleh BN selama ini, sudah dianggap tidak relevan lagi. 

"Kita terima berbagai kaum satu adunan yang baik, pelbagai budaya dan pengalaman disatukan. Kita boleh bina kekuatan Pakatan Rakyat dengan satukan berbagai kaum di atas konsep dalam perlembagaan yang tak mampu dibuat oleh BN,"katanya.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Pakatan buktikan perpaduan, tolak perkauman -TG Hadi"

Post a Comment

Close