Awalnya saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mat Nor ini. Malah saya tidak ambil pot sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini tidak pernah berubah hingga ke hari ini.
Tapi apa yang hendak saya kesahkan disini bukan hal United Malays National Organisation tapi hal Mat Ezam. Secara jujur saya katakan disini, saya tidak pernah ambil tahu siapa setiausaha politik, setia usaha akhbar atau siapa setiausaha sulit Anwar Ibrahim. Untuk saya semua mereka ini hanyalah aparachik kalau pun bukan tukang bodek. Pandangan saya ini berasakan budaya politik yang wujud hari ini.
Pada awalnya – saya terdengar - apabila Anwar di tangkap pada 20 September 1998 - ramai juak-juak Anwar termasuk Mat Ezam telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia tidak pula ingin saya ketahui.
Gerakan Reformasi muncul sesudah penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalanraya sebagai wadah politik. Kami tidak ambil pot tentang juak juak Anwar yang lari dan yang tidak lari. Malah juak juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil pot terhadap ‘polong-polong’ piliharaan Anwar yang saku mereka telah penuh dengan ‘darah saham’ dan ‘pink form’.
Gerakan politik jalan raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar United Malays National Organisation hanya satu : membodohkan orang Melayu selama 50 tahun.
Saya pun kurang ingat bila Mat Ezam muncul kembali – mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan. Fakta sejarah ini tidak penting. Apa yang penting ialah Mat Ezam terpaksa menerima wadah jalan raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa bengolan juak Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi kerana ombak jalan raya bagitu besar maka mereka terpaksa membuat ‘teater’ berlakon bersama kami.
Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja jalannya untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan juak juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National Organistion. Justeru mereka selalu ‘memberatkan’ Gerakan Reformasi. Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatklan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dalam congak politik mereka apabila Anwar menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri kendara dan mengumpul ‘pink form’ dan memungut zakat harta kekayaan.
Harus dinyatakan jelas disini - Gerakan Reformasi tidak peduli hangguk sama ada Anwar Ibrahim jadi PM atau malaon mana pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Muhamad di dobrak dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.
Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya Reformasi telah kita tuai pada 8 March 2008 dahulu. Inilah contoh yang dinamakan perjuangan berjangka panjang. Menabur benih kesedaran selama sepuluh tahun. Ini kerja politik yang ulit dan bertahan lama. Turun ke jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian terhadap kuasa politik United Malays National Organisatgion.
Pada ketika ini Mat Ezam telah mudek kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan Mat Ezam ini terkena penyakit KKS – kurang kasih sayang . KKS ini adalah satu penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Mat Ezam telah mundar mandir ke hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air lior basinya yang diludahkannya dahulu.
Nasib saya agak baik, beberapa hari yang lalu ada kawan menghantar klip potongan salah satu dari ceramah Mat Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini dari siri ceramah perdana ‘Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo’.
Saya kurang faham apakah Khir Toyo seorang Jawa sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya pukul talipon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera – kawan saya ini ketawa berdekah dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk belajar ilmu politik. Ciss….bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Mat Ezam.
Mat Ezam telah mempotokopi gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini kerana saya pernah – satu masa yang lama dahulu - berkongsi pentas dengan Mat Ezam. Mat Ezam telah cuba meniru lenggok dan deram maarunah termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak ‘geli’ tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang ori telah ada maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam Mat Ezam.
Saya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Ezam ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut. Malu menengok kawan lama ‘bertandak atas tong’ seorang diri. Saya sendiri tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan Orang Selangor. Kalau tidak – dalam dalam gelap itu - boleh juga saya menebeng untuk meramaikan pendengar ceramah.
Seperti di zaman Reformasi , Mat Ezam akan ke hulu ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat. Gugat. Cukup macho.
Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati Mat Ezam – bukan kerana yang mendengar tak ramai; ini pun satu hal – tapi tidak ada sesiapa pun yang ambil pot dan menyambut cabarannya itu. Semua orang buat dek sahaja. Malah Lokman Adam seorang pemikir dalam gerakan pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan Mat Ezam pun terus memperlekehkan Mat Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.
Sesiapa yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaan si penceramah akan melafaz doa berjela-jela dan was soli was soli dimasukkan ke sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah. Pada anggapan si penceramah lagi panjang was soli was solinya maka lagi sucilah apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan was soli was soli ini.
Tetapi ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Mat Ezam yang saya tonton. Lebih hebat dari semua was soli was soli. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa yang dikatakan oleh Mat Ezam ini. Mat Ezam sebenarnya telah mendapat bantuan dari Allah. Betul. Ini bukan bohong.
Mat Ezam berkata yang dia bersyukur kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini adalah peliwat dan penyondol. Bagaimana Allah memberi maklumat ini kepada Mat Ezam tidak pula jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut Batu Caves , Gua Herak, bersuluk, berkhalawat atau dia pergi bertapa.
Mengikut ceramah Mat Ezam semenjak mendapat ‘ info’ dari Allah maka dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini Pak Sheikh Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang peliwat malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh Mat Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.
Dibahagian ini saya minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu – saya agak kabur , apakah ‘info’ ini juga datangnya dari Allah atau datang dari Muhyiddin Yassin. Kalau ingatan saya betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.
Sebenarnya , merekrut Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita rajin membaca sejarah kuno Europah, maka kita akan bertemu dengan para padri yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan betapa kecutnya telor Pak Tani apabila si Padri datang melawat kampong mereka. Bukan sahaja panen Pak Tani ini akan diambil Sang Paderi malah silap-silap hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua dilakukan atas permintaan tuhan. Khalas. Period.
Apabila Mat Ezam merekrut Allah maka saya angkat tangan serender. Saya mengaku kalah. Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi yang mengatakan Saiful tidak diliwat. Saya juga membaca maklumat dari laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Ini lah sumber maklumat saya. Dari maklumat ini saya membuat rumusan bahawa jubur Saiful tidak diusik.
Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat Mat Ezam. Apabila Mat Ezam mendapat info dari Allah – saya tak terkata apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk mempertikai maklumat Mat Ezam ini.
Tetapi – saya ada sadikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya dengan Mat Ezam apakah Allah tidak ada memberi dia tahu maklumat yang lain – tentang siapa sebenarnya membunuh Altantuya. Atau tentang adik Shahlinie yang selama ini masih hilang. Renung punya renung, saya merasa amat pelik mungkinkah Allah juga ada sikap ‘double standard’ - hanya tahu tentang Anwar sebagai peliwat dan tak ada info tentang Altantuya.
Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallah hu alam bissawab – hanya Allah yang maha mengetahui. TT
p/s: Sesiapa berjumpa Mat Ezam sila tanykan hal ini agar kita semua dapat menyambut bulan Ramadan dengan penuh ketenangan.
0 Response to "Tukar Tiub: CABAR JANGAN TAK CABAR !"
Post a Comment