PROJEK JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA KEDUA DIKUATIRI TIDAK DAPAT DISIAPKAN

Assalamualaikum wbt

Y.B.,

Saya ingin menyuarakan kebimbangan saya tentang projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua, Kota Bharu, Kelantan yang dikuatiri akan terbengkalai sekali lagi. Hal ini kerana berdasarkan tinjauan saya pada 06hb. September 2009 lalu, tidak menampakkan apa-apa perubahan yang positif bagi projek ini dan seakan terbengkalai.

Projek jambatan yang bernilai RM150 juta ini sepatutnya dapat disiapkan pada penghujung 2009 tetapi tempoh pembinaannya dilanjutkan setahun lagi dan tarikh akhir ialah 12hb. Disember 2010. Walaupun tempoh pelaksaan projek dilanjutkan, sayangnya kontraktor yang terbabit tidak mengambil peluang yang diberikan sebaik mungkin dan perkara ini amat mengecewakan sekali terutamanya rakyat yang terpaksa menempuh kesesakan di jambatan sedia ada yang tidak mampu lagi menampung peningkatan kapasiti kenderaan bermotor.

Projek jambatan kedua ini melibatkan pembinaan dua buah jambatan di sebelah kiri dan kanan jambatan sedia ada dan juga sebuah jejambat (flyover) sepanjang kira-kira satu kilometer. Pembinaan dua buah jambatan tersebut masih lagi di peringkat kerja-kerja asas, iaitu menanam cerucuk dan juga membina tiang-tiang jambatan. Itupun belum siap sepenuhnya dan kontraktor masih lagi terkial-kial untuk membina tiang-tiang utama sedangkan projek ini telah lama dilancarkan, iaitu pada 02hb. Ogos 2007 lagi. Dalam masa yang sama, pembinaan jejambat dari kepala jambatan sehingga ke Simpang 3 Langgar sepanjang kira-kira satu kilometer belum lagi bermula. Persoalannya mampukah semua projek ini dapat disiapkan dalam tempoh 14 bulan dari sekarang?

Oleh itu, saya memohon jasa baik Kementerian Kerja Raya agar dapat memantau rapi pelaksanaan projek ini kerana ia melibatkan imej Kerajaan Pusat dan telah beberapa kali ditegur oleh Sultan Kelantan tetapi tidak ada usaha bersungguh-sungguh yang menjayakannya.

Sekian terima kasih.

Yang benar,

Y.M. RAJA MAHADI RAJA MUHAMED
Kuala Lumpur, Malaysia

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PROJEK JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA KEDUA DIKUATIRI TIDAK DAPAT DISIAPKAN"

Post a Comment

Close