Entah kali keberapa saya terbaca di dalam akhbar cerita sejadah berdiri bahkan bersolat. Terbaru di Pasir Mas, Kelantan dan sebelum itu rasanya di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.
Hal itu tidak mustahil berlaku. Kuasa Allah memang tidak terbatas. Menghidupkan orang yang sudah mati ribuan tahun pun mudah sahaja bagi Allah, apatah menjadikan sejadah berdiri. Urusan Allah ialah dengan ‘Kun fa yakuun – jadi, maka jadilah’.
Kalau sesiapa rajin taip sahaja ‘sejadah berdiri’ di Google, puluhan ceritanya mengenainya boleh dibaca.
Suatu ketika dulu berlaku peristiwa tanah jerlus di Perlis sehingga membentuk perigi. Sebilangan orang yang kagum dengan kejadian ‘luar biasa’ itu berebut-rebut mengambil airnya untuk dijadikan penawar sehingga Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Mufti masuk campur.
Orang ramai berjaya disedarkan bahawa itu adalah fenomena biasa alam.
Saya tidak menafikan kejadian luar biasa. Ia boleh sahaja berlaku dalam bentuk mukjizat, karamah dan macam-macam lagi. Namun semua itu tidak berlaku secara sebarangan dan semberono tetapi dengan peraturan dan sebab yang sangat mustahak.
Misalnya, diceritakan bahawa Tok Kenali, walau pun dia hadir ke halaqah ilmu tanpa sebarang peralatan belajar semasa di Mekah, semasa belajar dia kelihatan memejamkan mata atau tidur, tetapi apabila gurunya bertanya sesuatu masalah kepadanya, dia menjawabnya dengan tepat dan betul. Itu karamah.
Peristiwa itu berlaku kepada manusia dan bukan kepada benda. Tok Kenali adalah manusia.
Kisah sihir tukang sihir Firaun dan dan mukjizat Musa, bukan tali tukang sihir Firaun dengan sendirinya bertukar menjadi ular. Begitu juga bukan tongkat Musa dengan sendirinya bertukar menjadi ular besar, tetapi kedua-duanya dilakukan oleh tukang sihir dan Musa dan tentunya dengan izin Allah. Dengan peraturan dan sebab yang jelas dan mustahak. Itu mukjizat.
Mungkin juga sejadah berdiri itu fenomena alam seperti perigi jerlus tadi? Perigi jerlus tadi berlaku kerana faktor-faktor geografi yang khusus. Sejadah berdiri pula, apa faktor geografinya? Justeru, sejarah berdiri ini apa? Kalau karamah, karamah siapa?
Mungkin ada orang berhujah, kejadian ini ditakdirkan Allah untuk menyedarkan orang yang lalai mengenai kuasa-Nya. Hah, fenomena alam yang ditakdirkan Allah sebesar Tsunami, kejadian runtuhan tanah di ibu kota suatu masa lalu pun tidak ramai yang sedar dari lalai, takkan dengan sejadah berdiri begitu mudah seseorang itu berubah.
Mungkin ada yang berkata lagi, mungkin orang itu tidak sedar dengan kejadian besar tetapi boleh sedar dengan kejadian kecil. Ya, boleh jadi. Tetapi setakat ini sudah berapa ramai yang insaf dengan cerita sejadah berdiri ini?
Saya fikir inilah sebahagian tanda ‘kemalasan’ orang kita. Kemalasan berfikir dan kemalasan berusaha.
Macam mana?
Tak berdakwah pun tak apa, tunggu sahaja kejadian sejadah berdiri, laporkan dalam akhbar dan dengan itu orang akan sedar dengan kuasa Allah dan taat kepada Allah. Biarkan sejadah yang berdakwah.
Tak pergi hospital pun tak apa, minum sahaja air dari mana-mana perigi ganjil yang belum dapat dipastikan kebersihannya, tentu penyakit akan sembuh. Mengharapkan keajaiban air daripada berikhtiar sedcara rasional dan profesional. Biarkan keajaiban yang menyembuhkan penyakit.
Masyarakat kita perlu dididik berpijak di alam nyata, berjalan di bumi dan memahami peraturan dan undang-undang alam. Jangan bergantung kepada keajaiban sahaja. Keajaiban adalah urusan Allah.
Al-Qardhawi menceritakan, suatu ketika dahulu, sebuah hospital di Amerika Syarikat telah mengumpulkan pesakit dengan pelbagai latarbelakang penyakit, agama, bangsa, negeri dan bahasa. Mereka ditempatkan di sebuah wad khas dan mereka dirawat dengan prosedur perubatan seperti biasa.
Cuma lebihnya, mereka diperdengarkan dengan bacaan al-Quran daripada kaset yang dipasang pada waktu-waktu tertentu. Ternyata mereka lebih cepat sembuh berbanding dengan pesakit yang dirawat seperti biasa tetapi tidak diperdengarkan dengan al-Quran.
Itu keajaiban, tetapi adakah mereka tidak berpijak di alam nyata dan mengenepikan undang-undang alam?
Saya sarankan, hentikanlah penyebaran cerita sejadah berdiri dan bersolat dan cerita-cerita yang seumpamanya. Tentu berita itu melariskan akhbar, tetapi menjerumuskan orang ramai ke dalam kemalasan dan kejumudan.
sumber bongkarsauh.blogspot.com
sumber bongkarsauh.blogspot.com
0 Response to "Cerita Sejadah Berdiri Dan Bersolat, Hentikanlah!"
Post a Comment