Najib bertanding di Bagan Pinang?



Mohd Najib Isa - anak kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad - adalah antara nama yang kini disebut-sebut dicalonkan mewakili BN bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Pilihan itu dibuat kemungkinan kerana beliau mampu menarik sokongan pengundi terutama anak muda di kawasan tersebut dan juga menumpang tuah bapanya yang cukup berpengaruh di Teluk Kemang.

Isa yang juga bekas naib presiden Umno adalah ketua Umno bahagian di Teluk Kemang dan Najib adalah ahli jawatankuasa bahagian merangkap naib ketua Pemuda bahagian. Sebelum ini, nama Isa juga disebut-sebut mungkin dipilih mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu kerana mempunyai ramai saudara mara di Bagan Pinang.

Sekiranya Mohd Najib (kanan sekali) dipilih, ia juga secara tidak langsung boleh memberi kemenangan kepada anaknya untuk mempertahankan kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor.

Azman yang juga bekas naib ketua bahagian itu, meninggal dunia Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Selain Isa dan Najib yang disebut-sebut untuk dicalonkan bertanding di kerusi tersebut, ada beberapa calon lagi, yang akan dipertimbangkan untuk menjadi calon.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Setiausaha bahagian Mansor Ibrahim berkata terdapat tujuh atau lapan ahli jawatankuasa bahagian yang disenaraikan untuk pertimbangan bahagian untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Bahagian itu akan bermesyuarat untuk membincangkan pemilihan calon dan persiapan jentera pilihan raya BN, di Kelab Golf Port Dickson jam 5 petang ini.

Manakala Pesuruhjaya PAS, Zulkefly Mohamad Omar pula adalah antara tiga pemimpin PAS yang diura-urakan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Najib bertanding di Bagan Pinang?"

Post a Comment

Close