Pejabat Bersih dipecah masuk, barangan hilang

PETALING JAYA: Pejabat operasi NGO memperjuang pilihan raya bersih, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Seksyen 4, Petaling Jaya, dipercayai dipecah masuk awal pagi tadi.

Ahli Jawatankuasa Pemandu NGO itu, Maria Chin Abdullah ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian disedari seorang kakitangan pejabat, Deepa Nair ketika datang membuka pintu pejabat kira-kira 8.30 pagi tadi.

“Ketika Deepa masuk pejabat, beliau dapati pejabat berselerak. Kelihatan seorang lelaki bertopi berada di ruang dapur sedang makan. 

"Kemudian Deepa menjerit terkejut dan lelaki berkenaan terus lari keluar membawa empat bungkusan besar,” kata Maria dipetik KeadilanDaily.

Menurut Maria lagi, terdapat kesan kerosakan pada pintu di bahagian belakang pejabat yang dipercayai diumpil untuk laluan masuk pencuri terbabit.

“Kami tak pasti jam berapa dia masuk, tapi kalau ikutkan kesan rosak pada pintu, dia (pencuri) melakukannya dalam masa yang agak lama,” jelas Maria kesal dan terkejut dengan kejadian itu.

Beliau turut menjelaskan beberapa barangan turut hilang termasuk wang tunai, dua telefon bimbit milik Bersih dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), kamera video dan perakam suara.

Anggaran awal kerugian katanya sekitar RM5,000, Bagaimanapun Bersih sedang menilai semula anggaran kerugian dengan membuka semula dokumen aset pejabat.

“Kami masih dalam rangka menilai semula angka sebenar kerugian dan akan menyemak jika ada dokumen yang hilang,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Bersih membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pagi tadi.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Pejabat Bersih dipecah masuk, barangan hilang"

Post a Comment

Close