Amanat Tok Guru di Himpunan Wanita Kelantan

Aslani M,21 Feb 2013
























KOTA BHARU: Ketika Umno melalui agen sibuk membodek anak-anak Kelantan di perantauan dengan pelbagai tawaran, namun ia tidak menghalang mereka hadir pula pada program anjuran kerajaan negeri.

Malah program yang dianjurkan sejak setahun lalu sudah diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan).

Dan pada Sabtu ini (23 Febuari) sekali lagi program serupa diadakan dan kali diurusetiakan Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan.

Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan itu akan diadakan di Bazar Pusat Bandar, Taman Melawati, Jalan Negara, Kuala Lumpur bermula jam 4 petang hingga 12 malam.


Anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berpeluang beramah mesra dan mendengar amanat disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Zainiah Abdul Halim(gambar) berkata, pelbagai program menarik diadakan termasuk cabutan bertuah, persembahan dikir barat dan kuiz “Ambo Banggo Jadi Anak Kelate”.

“Selain itu pertandingan mewarna, melukis, hadiah belon dan ais krim kepada kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa,” katanya di sini.

Selepas solat Asar diadakan sembang santai bersama VIP dan selebriti yang akan mengupas tajuk “Kelantan Menerajui Perubahan”.

Program berkenaan menampilkan artis Wan Aishah Wan Arrifin, Dr Nadzirah Mohd (pensyarah), Zawati Ibrahim (usahawan Jati Mas Sdn Bhd) dan peguam Mumtaz Md Nawi.

Program berkenaan akan dikendalikan selebriti TV Al-Hijrah, Amin Idris. Selepas itu diadakan penyampaian hadiah pertandingan mewarna dan melukis.

Pada jam 6 petang program Amanat Tok Guru akan dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Manakala ketibaan Menteri Besar akan disambut dengan persembahan silat wanita. Selepas selesai Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan amanat akan diadakan jamuan rakyat dan cabutan bertuah hadiah bonanza.

Selepas solat Maghrib dan Isya’ berjemaah iaitu kira-kira jam 9.15 malam akan diadakan persembahan dikir barat oleh pasukan anak Kelantan di perantauan.

Program Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan berakhir dengan ceramah bakal menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Selain itu Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ustazah Noraini Hussein.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Amanat Tok Guru di Himpunan Wanita Kelantan"

Post a Comment

Close