MALAYSIA TERJAH




PDRM bangun unit risikan tangani jenayah
Posted: 19 Oct 2010 02:56 AM PDT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan sistem 'Central Intelligence Unit' (CIU) sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan kemampuan polis dalam menyelesaikan kes jenayah berpandukan maklumat risikan tepat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata PDRM juga sentiasa menambah jumlah pegawai penyiasat dari semasa ke semasa untuk memenuhi kuota yang ditetapkan.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PDRM berjaya menyelesaikan 230 kes atau 59.74 peratus daripada 385 kes bunuh yang dilaporkan.

"Bagi tahun 2008, sebanyak 446 kes atau 68.2 peratus daripada 654 kes telah diselesaikan dan bagi tahun 2009, jumlah penyelesaian kes ialah 392 kes atau 65.55 peratus daripada 598 kes yang dilapor," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai statistik penyelesaian kes bunuh di negara ini dan langkah kerajaan dalam memerangi jenayah berat seperti bunuh dan rompakan.

Abu Seman berkata kes jenayah seperti samun, bunuh, rogol dan mencederakan dikategori sebagai jenayah kekerasan dan bagi memeranginya, PDRM sentiasa meningkatkan rondaan dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Sehingga 20 Sept lepas, seramai 4,725 anggota Rela dan JPAM dilantik khusus untuk menjalankan tugas itu," katanya.

Abu Seman berkata PDRM juga memiliki Pasukan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) di bawah Makmal Forensik.

Beliau berkata Makmal Forensik yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2002 itu ditubuh untuk menyelesaikan kes-kes jenayah yang memerlukan kaedah penyiasatan canggih untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Anggota Pasukan CSI juga diwujudkan dalam kontinjen PDRM di seluruh negara selain daripada yang dilantik dan ditempatkan di Makmal Forensik di Cheras," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar).


Bajet raih undi, bukan ekonomi pendapatan tinggi
Posted: 19 Oct 2010 02:54 AM PDT
Bajet 2011 berjumlah RM213 bilion, RM162.8 bilion untuk belanja mengurus, RM49.2 bilion untuk pembangunan. Maknanya belanja mengurus 3 kali ganda belanja pembangunan. JPM sendiri terima peruntukan sehingga RM15 bilion berbanding RM78 juta untuk parlimen.

Bajet ini satu petunjuk yang sangat jelas, pilihan raya sudah dekat. Bajet yang disasarkan untuk mendapat undi, bukan ekonomi berpendapatan tinggi. GST tak jadi dibuat, elaun pengerusi JKKK dan elaun mesyuarat JKKK naik, elaun Tok Batin naik, elaun Tok Imam naik (tapi kenapa bilal tak naik), elaun guru KAFA naik, imbuhan yang pelbagai tapi adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut? Atau imbuhan-imbuhan ini hanya perangkap. Apa perlunya dibina Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat dengan kos RM5 billion tetapi beban hidup rakyat tidak diringankan.
Menarik kononnya untuk menghargai kaum wanita, cuti bersalin dianjalkan 60 hari ke  90 hari, ada orang kata kerajaan pusat tiru dasar cuti bersalin 90 hari kerajaan PR Selangor. Sebenarnya tidak. Dianjalkan dari 60 hari kepada 90 hari, maknanya kakitangan awam wanita boleh tentu sendiri berapa hari mereka nak cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan maksima 300 hari sepanjang perkhidmatan. Berapa puluh tahun pun seorang wanita bekerja dengan kerajaan, cuti bersalin mesti tak lebih 300 hari. Tak ada tambahan apa-apa. Maknanya boleh beranak setakat 3 orang saja. Lepas itu tak ada dah cuti. Kalau siapa nak beranak 5 tetap kena ambil cuti bersalin 60 hari sebab 60 x 5 = 300. Tak sama dengan dasar cuti bersalin 90 yang kerajaan Selangor buat. Jangan cepat rasa seronok. Kena kira betul-betul.

First Lady Rosmah bukan menteri kabinet  tetapi Program TADIKA PERMATA PINTAR Rosmah seakan  ambil alih dan mengecilkan peranan kementerian Shahrizat. Walaupun Rosmah tak ada sebarang jawatan rasmi, tapi program PERMATA yang dia urus  dapat bajet istimewa. RM111 juta peruntukan  hasil duit rakyat diberikan seorang suami kepada first lady tersayang sedangkan untuk SAR rendah dan menengah hanya RM95 juta diperuntukan. Satu lagi projek kerajaan BN. Isteri didahulukan, SAR dianak tirikan.

Duti  import antara 3 hingga 5 peratus dimansuhkan untuk kira-kira 300 jenis barang-barang kegemaran pelancong dan rakyat tempatan seperti beg tangan berjenama, kasut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, pakaian dalam, seluar dalam, minyak wangi. Mampukah rakyat biasa beli beg tangan berjenama? Kalau mampu pun, apakah ini keperluan mendesak. Penyembur rambut, minyak wangi, seluar dalam import. Semua ni keperluan siapa? Keperluan orang kampung atau keperluan mak datin. Seluar dalam pun masuk bajet. Ada orang kampung pakai minyak wangi import, penyembur rambut import? Berapa ramai rakyat biasa pakai dompet berjenama? Kalau Bajet untuk rakyat, rakyat mana? Apakah rakyat dengan makna kita masyarakat bawahan atau dengan makna ahli politik dan kroni. Kalau bukan untuk rakyat biasa maknanya ia satu lagi bajet untuk kemudahan dan keselesaan warga yang berada. Mereka sebut projek mega di situ, projek mega di sini, hakikatnya berbillion ringgit akan dapat kepada kroni, rakyat hanya dapat ratusan ringgit.

Masa Najib bentang bajet kelmarin, saya tengah memandu di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perak, sambil mengikuti perbentangan bajet di dalam kereta. Menarik bila diumumkan, untuk pengguna-pengguna

Lebuh Raya PLUS saya dengan sukacitanya mengumumkan… PM berhenti sekejap, saya menjangkakan kalau tak dimansuhkan tol mesti sekurang-kurangnya kerajaan mengurangkan kadar tol. Rupa-rupanya… dengan sukacitanya saya mengumumkan kadar tol di semua 4 lebuh raya kendalian PLUS tidak akan dinaikkan dalam tempoh 5 tahun. Ingatkan nak diumumkan tol dimansuhkan atau sekurang-kurangnya diturunkan. Mungkin ada pemandu di lebuh raya PLUS yang senak perut, tergelak dengar pengumuman ini. Rupanya nak bagi tahu tol tak naik. Tak naik tak payahlah diumumkan. Saya yakin PLUS tak terjejas apa-apa ekoran kadar tol tidak dinaikkan kerana mereka mempunyai perjanjian dengan kerajaan: Sebarang kekurangan pendapatan PLUS ekoran kadar tol yang tidak dinaikkan akan ditampung pihak kerajaan. Ditampung pihak kerajaan maknanya duit rakyat akan digunakan.

Apa pula keperluan ubah suai Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kos mencecah RM65 juta. Bukankah ia baru saja diubah suai. Apakah ubah suai ini atas kehendak Rosmah? Sekiranya begini duduk perkara maka  amat malang bagi rakyat Malaysia mempunyai 'First Lady' yang berselera dan bernafsu tinggi sehingga sang suami perlu membelanjakan puluhan juta ringgit duit rakyat demi memenuhi selera isteri tercinta.

Termasuk tahun ini telah 14 tahun berturut-turut kerajaan BN membentangkan bajet defisit. Untuk Bajet 2011, jumlah defisit kira-kira RM1 billion. Menjadi persoalan kenapa perlu kerajaan berbelanja melebihi pendapatan. Berbelanja melebihi pendapatan bermakna negara perlu berhutang. Setakat tahun ini sahaja jumlah hutang Negara telah mencapai hampir RM400 billion. Kalau kita terus berhutang tanpa mampu menjelaskannya, memang jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Idris Jala, Negara kita menuju bankrap menjelang 2019, setahun sebelum kita mencapai status negara maju 2020.
DAP mahu 'kuasa rakyat' tentukan Warisan Merdeka
Posted: 19 Oct 2010 02:42 AM PDT
Bagi membuktikan bahawa bantahan mereka terhadap pembinaan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat itu bukan tanpa asas yang kukuh, sekumpulan ahli parlimen DAP membawa wartwan ke tapak lokasi projek berkenaan hari ini.

Bermula dari bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), kira-kira 15 wartawan dibawa melihat persekitaran yang juga membabitkan bangunan Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang bersejarah itu.


Lima ahli parlimen itu kemudiannya mengadakan sidang media mereka bagi menghuraikan mengapa projek berkenaan bakal membebankan rakyat.

Menurut MP Bukit Bintang, Ong Kui Loon, jalan-jalan yang sempit dengan kehadiran lima sekolah di kawasan itu telah memburukkan lagi masalah lalu lintas di kawasan berkenaan.

Katanya, dengan siapnya projek Warisan Merdeka, keadaan lalulintas di sini akan menjadi lebih bercelaru.

MP Segambut Lim Lip Eng pula berhujah projek itu belum diluluskan memandangkan tiada papan tanda pengumuman projek daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia pra-syarat utama sebelum sesuatu projek diumumkan.

"DBKL mesti menaikkan papan tanda dan umumkan projek. Selepas itu mesti ada tempoh bantahan bagi orang ramai menyuarakan pendapat dan komen," kata Lim.

Katanya, ini bagi membolehkan rakyat menentukan sama ada mereka mahukan projek itu ataupun tidak serta alasan mengapa mereka berbuat demikian.

"Kami di pihak pembangkang telah membuat kenyataan berhubung pendirian kami tetapi kerajaan mendakwa kami hanya mempolitikkan isu berkenaan. Jadi sekarang kami mahu menggunakan kuasa rakyat," kata Lim lagi.

MP Cheras Tan Kok Wai juga mempersoalkan rasional mengapa Malaysia memerlukan bangunan pencakar langit lagi.

"Tiada bandaraya yang hebat hanya dibuat dengan bangunan pencakar langit sahaja.

"Adalah lebih baik kriteria lain digunakan seperti menjamin sistem keselamatan yang baik serta membekalkan sistem pengangkutan yang cekap," katanya.

MP Kepong, Dr Tan Seng Giaw juga sependapat dengan rakan-rakannya dan berkata peruntukkan RM5 bilion untuk menara itu sepatutnya dibelanjakan untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara .

"Tidak dinafikan ada yang akan dapat manfaat daripada menara itu, antaranya sebagai contoh mereka yang akan ada pejabat di situ tetapi bilangan mereka terhad.

"Sebagai kontras, wang itu jika dibelanjakan untuk meningkatkan perkhidmatan penagngkutan awam akan membawa manfaat kepada lebih ramai orang," hujah Tan.

Bagi MP Seputeh Teresa Kok pula projek Warisan Merdeka itu menimbulkan pelbagi persoalan kerana ia dirancang secara tergesa-gesa tanpa perbincangan lanjut. Katanya, contoh seperti beberapa projek di kawasan parlimennya di Seputeh.

Ahli-ahli parlimen Pakatan menganggap pembinaan itu sebagai projek 'gajah putih' dan berulangnya projek-projek mega yang membazirkan seperti dijalankan semasa zaman bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
16 tuntutan buat Ketua Umno Permatang Pauh
Posted: 19 Oct 2010 02:38 AM PDT
Tindakan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh memberi masa 44 hari kepada ketua bahagian, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid untuk menyelesaikan 16 tuntutan termasuk tunggakan gaji setiausaha kerja Umno bahagian yang tidak dibayar melebihi 20 bulan.


Harakahdaily difahamkan majlis 'Tranformasi Perjuangan Umno Permatang Pauh' yang dianjurkan oleh pemuda bahagian pimpinan Zaidi Mohd Said sengaja diatur bagi memalukan ketua bahagian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti .

Tindakan itu dilihat untuk menggagalkan impiannya untuk menjadi calon BN di Dun berkenaan pada pilihan raya umum kelak.


Selagi ada Jalil, maka Zaidi sukar dinamakan sebagai calon sama ada di Dun Permatang Pasir atau Penanti apatah lagi di Dun Seberang Jaya yang sudah sinonim dengan Datuk Arif Shah.

Antara lain tuntutan itu ialah menyediakan blueprint atau perancangan program dan budget untuk tempoh dua tahun bagi memperkasakan Umno Permatang Pauh untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke 13.

Ketua bahagian dituntut bersikap lebih telus dalam dan terbuka soal peruntukan yang disediakan oleh agensi kerajaan dalam membantu rakyat. Kesemua jumlah yang diperolehi hendaklah dimaklumkan pada semua AJK bahagian dan sayap-sayap.

Menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyalurkan segala bantuan  yang diterima oleh bahagian, agar tidak ada pihak yang terlepas pandang dalam menerima faedah.

Segala bantuan yang diterima untuk sayap hendaklah diagihkan terus secara sama rata bukan diagih pada pihak ketiga yang boleh menimbulkan pecah belah.

Segala peruntukan yang diterima oleh bahagian hendaklah diagihkan kepada sayap-sayap secara sama rata bukan digunakan sendiri oleh ketua bahagian.

Ketua bahagian hendaklah bertanggungjawab menyediakan dana khas bantuan untuk semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dalam parlimen agar Ahli JKKKP boleh bertindak dan bekerja dengan lebih berkesan.

Perlantikan Ahli JKKKP hendaklah dibincangkan dengan semua penyelaras dan harus merangkumi peranan semua sayap-sayap.

Menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab menyelaras semua permohonan yang dibuat oleh cawangan dan mempastikan permohonan cawangan-cawangan ditunaikan dalam tempoh masa tertentu.
Segala perlantikan jawatan politik yang diwujudkan di bawah kementerian-kementerian tertentu hendaklah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian.

Mempastikan segala arahan ibupejabat parti dilaksanakan bukan membiarkan arahan tersebut pada jawatankuasa bertanggungjawab sahaja.

Ketua bahagian hendaklah mempengerusikan semua Program Juara Rakyat peringkat parlimen bukan membiarkan pada pengerusi hingga semua AJK bahagian yang menjadi pengerusi terpaksa menanggung segala masalah berkaitan program tersebut.

Peruntukan yang diterima dari ICU hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatakuasa Bahagian.
Peruntukan Mayang hendaklah dipermudahkan cara agar ketua cawangan boleh menjadi wakil menyampaikan sumbangan pada mangsa bencana atau kematian tanpa menunggu Ketua Bahagian atau wakil yang datang.

Menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dengan peruntukan sedia ada  yang bertanggungjawab merancang, melaksana dan menjayakan semua program berbentuk pendidikan dan kebajikan.

Segala urusan parti hendaklah dilakukan di pejabat Umno bahagian, pejabat yang ada di luar pejabat Umno hendaklah ditutup dan dipindahkan secepat mungkin.
Posted: 19 Oct 2010 02:29 AM PDT
Janji Pakatan Rakyat hendak memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika mereka membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang hendaklah dinyatakan dalam manifesto dan bukannya sekadar "cakap mulut".

Menurut ahli politik veteran Sabah Datuk Karim Ghani - yang keluar Umno, antaranya kerana parti itu gagal memberikan autonomi kepada negeri itu - berkata, perkara itu harus dilakukan supaya rakyat dapat membuat pilihan dalam pilihan raya.

"Jangan cakap di mulut sahaja. Masukkanlah dalam manifesto. Barulah kita dapat buat keputusan.

"Kalau lepas (tempoh mandat) lima tahun tidak buat juga, kita tukarlah balik (kerajaan)," kata Karim ketika ditanya sama ada janji itu memikatnya untuk menyertai parti gabungan dalam Pakatan.


Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah semalam mengumumkan keluar parti serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, bekas naib presiden Usno itu menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan autonomi kepada Sabah.Pada 15 September lalu, ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dilaporkan berikrar mahu memberikan autonomi penuh jika mereka menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar dilaporkan berkata oleh The Borneo Post bahawa hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh negeri itu sendiri.

Sementara itu, Karim berkata, beliau juga kecewa berhubung isu tuntutan royalti minyak Sabah daripada 5 kepada 12 peratus yang dituntutnya selama ini tidak diberikan
Umno dekati rakyat setelah kalah
Posted: 19 Oct 2010 02:26 AM PDT
PAS berpendapat  saranan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak supaya jentera Umno perlu menembusi kawasan pembangkang dengan mengadakan pelbagai program supaya dapat mendekati hati rakyat menujukkan rasa insaf beliau setelah mengalami kekalahan di dalam pilihanraya yang lalu.

Ketika berucap pada Karnival Skuad Sayang 1Malaysia anjuran Wanita Umno di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, kelmarin beliau berkata, jentera  Umno perlu menyahut cabarannya dengan mengadakan program di kawasan pembangkang supaya rakyat dapat mendengar suara hati kerajaan dan bukannya hanya berjuang di kawasan yang selamat.


"Nampaknya pemimpin Umno hanya boleh diajar rasa bertanggungjawab kepada rakyat apabila mereka kalah. Sewaktu mereka berada di puncak kuasa, mereka tidak pandang kepada rakyat yang menderita hidup," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, PAS berpandangan, untungnya rakyat yang memilih parti lain daripada Umno BN, sehingga dapat mengajar pemimpin Umno bahawa mereka adalah khadam rakyat.

Menurutnya, ketika mereka kalah macam-macam program  yang dibuat untuk cakna rakyat, kononnya untuk ambil hati rakyat.

"Situasi ini rakyatlah yang paling beruntung kerana semua pemimpin akan berusaha mengambil hati rakyat," ujarnya.

Jelasnya, PAS dan Pakatan Rakyat melaksanakan program kebajikan dan mengambil berat hal rakyat bukan secara bermusim, tetapi menjadi dasar yang terancang dalam setiap proram kerana ia adalah amanah Allah SWT.
Tian: Kos perjalanan rasmi PM naik kerana Rosmah
Posted: 19 Oct 2010 02:24 AM PDT
Urusan perjalanan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin naik mendadak sehingga melebihi 75.2 peratus daripada perangkaan 2008.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata jumlah kos 1,102 pegawai yang mengiringi Najib dan Muhyiddin sejak 2008 berjumlah RM21.45 juta.

Soalan berkenaan dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang ingin tahu jumlah pegawai yang mengiringi kedua-dua pemimpin berkenaan apabila mereka membuat lawatan rasmi.

"Pada 2008, kos lawatan perdana menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya ketika itu (Najib) adalah RM5,597,583.20," kata Chua.
Menurut beliau, apabila Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 kos lawatan perdana menteri dan timbalannya terus meningkat kepada RM6,041,934.35 dan jumlah itu melambung kepada RM9,807,310.63 bagi tahun ini.

Membanding jumlah lawatan, Chua berkata antara 2008 hingga 2009, kos perbelanjaan perjalanan adalah 7.94 peratus manakala daripada 2009 hingga 2010 ia naik kepada 62.32 peratus.

"Saya percaya semasa lawatan rasmi jabatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri terpaksa membayar perbelanjaan boros isteri perdana menteri," katanya.

"Rosmah Mansor (kanan) mempunyai rekod sebagai berbelanja besar di London pada 2008, saya percaya jumlah kos yang tinggi itu adalah untuk menampung perbelanjaan isterinya, sebagai contoh lawatan (Rosmah) ke Forum Antarabangsa Wanita di Washington dan New York pada Mei lalu," kata Chua dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jawapan kepada soalan kedua Tian berhubung kos pengurusan dan pembangunan Jabatan Perdana Menteri, timbalannya serta agensi berkaitan mendedahkan jumlah itu yang berjumlah RM4.3 bilion pada 2006 melonjak kepada RM10.2 bilion tahun lalu.

"Ini bermakna ia meningkat 136 peratus dan ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan," kata Tian.

Pada pementangan Bajet 2011, Jumaat lalu, Najib mengumumkan peruntukkan RM18.14 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri.

Peruntukan itu mewakili 8.55 peratus daripada jumlah peruntukan bajet yang bernilai RM212 bilion.

"Ia menerima peruntukan ketiga terbesar mengikut agihan kementerian dengan RM35.76 billion untuk Kementerian Pelajaran dan RM31.2 bilion untuk Kementerian Kewangan," kata Tian.
Orang Asli kecewa usul tergempar ditolak
Posted: 19 Oct 2010 02:23 AM PDT
Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asli, Simpan Suda menyuarakan rasa kecewa apabila Dewan Rakyat mengetepikan usul tergempar yang dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.
"Usul (tergempar) hari ini mungkin ditolak, terpulang pada Ahli Parlimen kita (Kamarul Baharin) untuk membawanya," ujarnya ketika ditemui di luar Parlimen.

Difahamkan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengetepikan usul tergempar tersebut demi melaksanakan peraturan mesyuarat.

Menurut Simpan, pemimpin-pemimpin Orang Asli terbabit tidak berniat mempertikai keistimewaan Orang Melayu serta Bumiputera Sabah-Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan.


Orang Asli Semenanjung Malaysia katanya cuma mahu hak mereka dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan sahaja.

"Apa yang kita lihat, jangan dipertikai (Perkara) 153 Hak Istimewa Orang-Orang Melayu (dan Agama Islam) Perlembagaan Persekutuan."

"Tapi, kita nak memanjangkan keistimewaan Orang Asli di Semenanjung (Malaysia) saja kerana hak orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak saja yang ada," ujar beliau.

Difahamkan, Perkara 153 dan 160 perlembagaan tidak memberikan hak istemewa kepada Orang Asli Semenanjung sebagai Bumiputera.

Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.

Baginya, Hak Orang-Orang Asli nampaknya seakan tidak dipelihara menurut Parlimen.

"Seolah-olah hak kami (Orang Asli Semenanjung) tidak ada hak apa-apa dalam Perlembagaan kerana tafsiran hak kami pun tidak ada," ujarnya.

Menurut beliau, Perlembagaan wajar ditafsirkan semula dengan menjamin hak Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

"Kita nak minta panjangkan sendiri untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya prihatin dengan tuntutan mereka.

Sebelum pada itu, Sambut Sotet, 65, mengaku bahawa beliau disoal siasat oleh polis cawangan khas (SB) di Pahang, semalam.

SB, katanya meminta beliau memberikan maklumat lanjut berhubung suatu khabar angin bahawa lebih 200 pemimpin Orang Asli bertekad untuk berkampung di Parlimen pagi ini.

"Kita hanya datang ke sini (Parlimen) untuk lihat usul tergembar kita dibahaskan, itu sahaja, tidak ada apa-apa.

"Polis sedia kata ada beberapa biji bas datang, itu semua tidak ada," katanya.
Beliau yang juga pemimpin utama suku Temuan di Pahang berkata, SB sepatutnya tidak wajar mendesaknya memberitahu tentang inti memorandum badan bertindak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"Dia tanya (tentang) memorandum kami, saya tetap kata tiada apa-apa," tegasnya.
Posted: 19 Oct 2010 02:19 AM PDT
Konsep 1 Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sukar untuk 'dijual' di kalangan rakyat Malaysia, malah sebahagian besar pemerhati berpendapat ianya lebih sukar untuk ditelan oleh Umno sendiri - parti pimpinan Najib yang mempunyai seramai 3.6 juta ahli.

Kalangan Umno berpendapat bahawa 1Malaysia mencairkan raison
d'etre (sebab kewujudan) parti itu - iaitu memperjuangkan agenda Melayu - dan telah meletakkan mereka dalam keadaan yang janggal untuk bercakap sebagai pemimpin nasional dan bukan komunal.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, beberapa perwakilan secara peribadi telah menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap logo besar 1Malaysia yang dipasang di sekitar tempat perhimpunan itu atau bendera parti dalam bentuk logo 1Malaysia.

Para pemerhati kini menunggu untuk melihat sama ada para perwakilan akan mengikut isyarat ibupejabat parti dan menampilkan konsep 1Malaysia, dan bukannya retorik tradisinya - Ketuanan Melayu.
Rungutan terhadap konsep 1Malaysia agak tenang, kecuali beberapa kritikan menyengat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Najib percaya bahawa konsep 1Malaysia adalah kritikal dalam perancangannya untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan
datang.

Para perwakilan juga diharapkan menyentuh pelbagai rancangan besar
kerajaan, khususnya Model Baru Ekonomi (MBE), yang mahukan dasar
tindakan afirmatif dihapuskan secara berperingkat.

Walaupun MBE disokong oleh unsur-unsur liberal dalam Umno kerana ini akan menggalakkan dayasaing, sejarah telah menunjukkan bahawa majoriti penyokong setia Umno tidak akan senang terhadap sebarang usaha untuk menggangu-gugatkan tindakan afirmatif itu.

Dalam jangka pendek, para perwakilan dan pemimpin parti dijangka berusaha untuk menaikkan moral ahli dan parti, menjelang pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan serentak pada 4 November.

Walaupun kedua-dua pilihan raya keci litu tidak terlalu penting, tetapi kemenangan di Galas boleh dianggap sebagai titik permulaan dalam usaha Umno untuk merampas Kelantan dari PAS, yang menguasai neger iitu sejak 1990.

Dapatkan Khairy bertahan?

Bagi perhimpunan agung Pemuda Umno pula, perwakilan dijangka membentangkan 'kad laporan' masing-masing terhadap prestasi ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Khairy (kanan), yang terpilih sebagai ketua Pemuda Umno Mac tahun
lalu, telah menjadi juara konsep 1Malaysia dan telah beralih jauh daripada pendekatan keras komunal seperti yang diamalkanm pemimpin terdahulu pergerakan itu.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, Khairy dengan tegas menggesa anak buahnya supaya "mengetepikan" mentaliti 'Ketuanan Melayu' dan
digantikan dengan idea 'kepimpinan Melayu'.

Menurutnya, ini akan membantu pergerakan itu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat lain dan membina hubungan yang kuat dengan akan parti komponen dalam BN.

Perhimpunan agung Umno bermula malam ini dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga sayap akan membahaskan ucapan dasar ketua masing-masing esok.
'
Perdana Menteri Datuk Tun Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan presiden pada hari Khamis. Ini akan diikuti dengan perbahasan perwakilan yang akan berakhir pada hari Sabtu.
Felda: Ahmad Maslan menteri 'putar alam'
Posted: 19 Oct 2010 02:18 AM PDT
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan disifatkan sebagai 'menteri putar alam' apabila didakwa cuba memutar belit isu Felda.
Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad mendakwa Felda tidak pernah menipu peneroka berkaitan kadar perahan gred buah tandan sawit dalam kes Felda Kemahang 3.

Selain itu katanya, Felda kalah dalam kes tersebut kerana peguamnya tidak hadir pada hari perbicaraan tersebut.
Bagi kes Felda Sungai Koyan pula, beliau berkata Felda tidak kalah kerana keputusan mahkamah sama dengan pendirian Felda yang hanya akan membayar wang tanam semula kepada peneroka yang memenuhi syarat Felda.
Felda juga katanya tidak akan membuat rayuan kes tersebut.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang).
Penjelasan itu kemudiannya mengundang soalan bertalu-talu dari ahli parlimen pakatan rakyat khususnya dari Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

"Lawyer letak jawatan 2007, kes 2008 sepatutnya hantar lawyer lain lah.

"Dia tak bantah, dia tak rayu...kalau keputusan sama, patut tak hantar lawyer lawan la.
"Pusing...memang kuat putar alam...menteri kelam kabut," katanya lagi.

Ahmad Maslan dalam responsnya bagaimanapun mengajak Mahfuz berjumpa di luar dewan termasuk di Galas untuk selesaikan pertelingkahan tersebut.

Sementara itu, bercakap dalam sidang medi di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz menggesa Felda diletakkan di bawah Parlimen dan mesti menghantar laporan terperinci mengenai permasalahan Felda dan peneroka.

"Saya minta supaya satu laporan terperinci tentang permasalahan hubungan antara Felda dan peneroka dibentangkan di Parlimen. Ini sangat penting untuk kepentingan peneroka," katanya.

Ahmad Maslan turut dijemput ke sidang media tersebut, bagaimanapun beliau menolak dan mahu mengadakan sidang media berasingan.

Pada sidang media sama, Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) menggesa Felda mengakui kekalahan mereka dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya kepada peneroka seperti yang diputuskan mahkamah.
"Bila Felda kalah ertinya kalahlah. Bukan kerana kes peguam tak datang. Dalam rayuan, saya yakin peguam Felda sudah memberikan segala hujah tapi kalah juga. Tapi tak mengaku kalah.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula menggesa Ahmad tidak memutar belit fakta sebenar berkaitan kedua-dua kes melibatkan Felda.

Yang dipertikaikan sekarang ini lawyer itu layak buat tuntutan atau tidak. Mahkamah kata layak tapi di Parlimen dikatakan seolah-olah tak ada isu. Kalau semua dah setuju kenapa nak bawa ke mahkamah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mengarahkan agar Felda membayar kepada peneroka Felda Kemahang 3 sebanyak RM11 juta kerana menipu berhubung menggred buah kelapa sawit.
Ku Li, Tengku Amilin bukan lagi ahli MPN
Posted: 19 Oct 2010 02:16 AM PDT
Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin Aisyah Puteri bukan lagi ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) sejak 13 September lalu.


Keputusan itu dibuat oleh MPN selepas Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang  gagal hadir mesyuarat tanpa menyatakan penjelasan berhubung kegagalan mereka.



Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiesri Alias pada sidang medianya ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di Pejabat Sultan, Istana Negeri Kubang Kerian, petang ini.

Menurutnya, mengikut perkara 11(1) dan 11(2), mana-mana ahli yang tidak hadir tanpa mendapat kemaafan daripada pengerusi dan tanpa sebarang huraian di atas ketidakhadirannya itu akan gugur dengan sendiri.

"Maka ketidakkehadiraan Tengku Razaleigh pada hari itu tidak mendapat sebarang huraian dan kemaafan dari MPN," ujarnya.

Jelasnya, walaupun hanya sekali anggota MPN tidak hadir bermesyuarat tanpa menyatakan huraian berhubung kegagalan serta tidak mendapat kemaafan dari Pengerusi MPN, secara 'automat
Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan
Posted: 19 Oct 2010 02:15 AM PDT
PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.


Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

"Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

"Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu," katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk' Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "MALAYSIA TERJAH"

Post a Comment

Close