'Waran Geledah Antarabangsa' kerana rasuah PM Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh dipaksa mendedahkan maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan dakwaan kes rasuah membabitkan penjualan dua kapal selam Scorpene oleh syarikat Perancis, DCN.

Encik Joseph Brehem, salah seorang peguam Perancis yang menyaman DCN bagi pihak badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, Suaram, mungkin memohon mendapatkan 'waran geledah antarabangsa' supaya pegawai Malaysia mendedahkan maklumat mengenai komisen yang diterima oleh individu-individu tertentu.

Encik Brehem, yang berada di sini selama dua hari untuk mengumpulkan maklumat berhubung kes tersebut berkata beliau boleh membuat permohonan supaya Perimekar - syarikat milik isteri Encik Abdul Razak Baginda - supaya mendedahkan akaunnya dan menjelaskan bagaimana ia memperolehi 114 juta euro ($206 juta) tanpa berbuat apa-apa, tetapi hanya 'kerja pentadbiran'.

Encik Abdul Razak, yang merupakan teman rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan jurubahasa Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

Perjanjian pembelian kapal selam yang menelan belanja berbilion dolar itu dimeterai oleh Datuk Seri Najib, yang ketika itu memegang jawatan sebagai menteri pertahanan.

Selain kos kapal selam dan juga komisen yang tinggi, kontrak asal menyebut kapal selam berkenaan tidak mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan mengesan.

Pihak ketenteraan Malaysia perlu membuat bayaran tambahan 130 juta euro untuk melengkapkan kapal selam itu.

'Sebaik sahaja hakim membuat keputusan, beliau boleh mengeluarkan satu arahan yang dikenali sebagai 'waran geledah antarabangsa' dan waran itu akan dihantar kepada badan kehakiman Malaysia,' kata Encik Brehem, dalam satu wawancara eksklusif dengan laman berita Malaysiakini di Kuala Lumpur kelmarin.

'Menurut Konvensyen Korupsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (yang turut diperakui oleh Malaysia sejak 2003), Malaysia wajib bekerjasama dengan Perancis dalam perkara ini,' tambahnya.

Encik Brehem berkata jika Malaysia tidak memenuhi arahan tersebut, maka ia akan membuktikan bahawa kerajaan 'ada sesuatu yang hendak disembunyikan'.

Encik Brehem berkata:

'Untuk mencari penyelesaian terhadap kes-kes rasuah, ikut ke mana pergi wangnya.'

Menurutnya, keputusan untuk menghantar arahan seumpama itu bergantung sepenuhnya kepada hakim di Perancis.

Bagaimanapun, tambahnya, jika permohonannya itu ditolak, beliau akan memfailkan rayuan.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "'Waran Geledah Antarabangsa' kerana rasuah PM Malaysia"

Post a Comment

Close