Oleh Kim Quek
Akhirnya, kita mempunyai seorang pemimpin yang berani tampil ke depan mengambil tindakan undang-undang terhadap sistem pilihan raya yang tercemar di Malaysia, kini tidak terkawal lagi.
Kita lihat bagaimana pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Zaid Ibrahim, tewas dengan majoriti yang kecil kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam satu pertandingan yang paling korup dan paling kotor dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Zaid akan mengambil tindakan undang-undang bagi memulihkan sistem pilihan raya yang telah rosak seperti mana yang diperlihatkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Selain menuntut untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu sebagai terbatal, beliau juga akan menyaman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana melanggar Perlembagaan dan kegagalan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil tetapi sebaliknya memihak kepada politik BN.
Tambahan pula, beliau juga akan menyaman akhbar Utusan Malaysia, yang dikuasai oleh Umno kerana melancarkan kempen memburuk-burukkan peribadi beliau.
Pilihan raya kecil kali ini dicemari dengan ugutan, merubah senarai pengundi, serangan peribadi dan rasuah secara berleluasa manakala SPR dan pihak polis secara terang-terang memihak kepada BN.
Malahan gejala rasuah begitu teruk – membeli undi secara terbuka dengan menggunakan dana orang ramai berjumlah jutaan ringgit sehingga melibatkan projek-projek yang tidak terhitung jumlahnya.
Zaid menyifatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengetuai kempen pilihan raya sebagai "sesuatu yang memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah."
Mengenai pencabulan yang melampaui batas terhadap peraturan dan undang-undang pilihan raya, SPR terus membisu.
Apabila berdepan dengan kritikan tanpa henti, Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Press bertarikh 29 April sebagai berkata:
"Membenteras rasuah adalah bukan bidang pengkhususan kami. Tugas kami ialah menyediakan sebuah padang permainan yang adil untuk pertandingan dalam pilihan raya. Bagaimanapun, kami tetap mengalu-alukan sebarang aduan daripada mereka yang mempunyai butiran lanjut.
"Jika sesebuah projek itu dirancang lebih awal dan secara kebetulan dilaksanakan dalam waktu kempen pilihan raya, ianya bukan rasuah.
Saat meluluskan peruntukan itu adalah penting di sini, sama ada para pengundi keluar keluar mengundi kerana projek-projek itu.
"Pakatan Rakyat telah memenangi tujuh dari 10 pilihan raya yang diadakan sejak pilihan raya umum lalu tetapi masih membuat aduan bahawa SPR memihak kepada BN.
Saya berharap para peserta yang terlibat dengan pilihan raya sedar bahawa memenangi pilihan raya adalah disebabkan sokongan orang ramai dan bukan "pertolongan" daripada SPR," demikian apa yang diucapkan oleh Abdul Aziz.
Ini adalah karut semata-mata. Kita tidak dapat menerima alasan kononnya kemungkinan projek-projek "dirancang lebih awal" dan "secara kebetulan" apabila melihat kepada bilangan, saiz projek dan geran yang diumumkan dalam tempuh masa yang singkat.
Meraih sokongan dalam pilihan raya dengan mengumumkan "gula-gula" secara terbuka dan disaksikan oleh ribuan manusia serta sama ada penerima "gula-gula" mengundi pihak yang memberi "gula-gula" adalah isu rasuah yang tidak relevan di sini.
Dan hakikat pada akhirnya, Pakatan memenangi lebih banyak kerusi pilihan raya kecil berbanding BN tidak bererti SPR tidak menyokong BN.
Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila pengerusi SPR memberi alasan yang tidak logik dan remeh semata-mata untuk menyembunyikan kesalahan dan kelemahan SPR.
Tetapi insiden rasuah yang mendapat publisiti paling meluas dilakukan oleh Najib sendiri ketika berdepan dengan para pengundi Rasa menjelang hari mengundi pada 25 April lalu.
Beliau memberitahu penduduk, jika BN menang, beliau sendiri akan menyerahkan geran sebanyak RM3 juta kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Rasa pada hari keesokannya dan wang itu akan disalurkan kepada akaun bank pihak lembaga sekolah.
Najib menambah, "jika kami kalah, tidak perlu datang." Berita ini dilaporkan dalam akhbar dan internet dan Najib tidak menafikannya.
Apa lagi bukti SPR mahu sebelum bertindak?
Insiden yang satu ini sudah cukup untuk mendakwa Najib melakukan rasuah di bawah Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11, iaitu hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000. Selain itu, beliau boleh digantong dari bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.
SPR sering mengeluh ia tidak memiliki kuasa siasatan dan tidak ada kepakaran dalam membenteras rasuah, tapi saya ingin mengingatkan SPR bahawa ia memiliki tugas dan kuasa di bawah Seksyen 5, Akta Pilihanraya 1958.
Untuk tugas-tugasnya, Akta itu menyebut "SPR boleh mengawasi dan mengawal etika perjalanan pilihan raya dan boleh menguatkuasakan ke atas para pegawainya supaya berlaku adil, tidak berat sebelah dan mematuhi Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini dan peraturan-peraturan yang tertakluk di bawahnya."
Sementara mengenai kuasa-kuasanya yang ada, Akta itu menyebut bahawa SPR "boleh mempunyaibidang kuasa untuk mengarah para pegawai pilihan raya seperti mana yang difikirkan perlu oleh Suruhanjaya untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya menurut Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini."
SPR juga mempunyai kuasa untuk mentadbir apa-apa peraturan dan melaksanakan apa-apa tugas yang diamanah dan dikuatkuasakan ke atasnya oleh Akta itu.
Umum mengetahui bahawa SPR tidak mempunyai kepakaran dan tenaga kerja yang sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menangani gejala rasuah dan menahan mereka yang korup.
Tetapi ini tidak bermakna SPR boleh bersikap lebih tangan apabila berdepan dengan amalan rasuah yang berleluasa hingga menjejaskan peranannya sebagai orang tengah bagi mempastikan pilihan raya yang bebas dan adil.
Lebih memburukkan keadaan, apabila SPR didapati mengamalkan politik berpihak dengan mengubah tempat mengundi bagi sebahagian pengundi tanpa notis lebih awal.
Perbuatan memindahkan pengundi ke tempat mengundi yang lain telah menafikan sebilangan pengundi dari melaksanakan hak mereka untuk mengundi dengan secara tidak mengikut perlembagaan.
Parti pemerintah BN telah bermain politik kotor dalam setiap pilihan raya sejak lima dekad yang lampau. Ini menyebabkan sistem pilihan raya kita tercemar hingga mengucar-kacirkan asas ketetapan Perlembagaan kita – bahawa sesebuah kerajaan itu dibentuk mengikut kehendak rakyatnya secara bebas.
Tindakan SPR membiarkan petualang-petualang ini mencetuskan kacau beliau pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tanpa diambil sebarang tindakan bermakna menggalakkan tindakan-tindakan jenayah dengan menggadai hak rakyat yang penting ini.
Adalah menjadi tugas setiap rakyat untuk bangkit dan menuntut hak mereka sekarang dengan memberi sokongan penuh kepada Zaid Ibrahim dalam usaha murni beliau untuk memulihkan proses pilihan raya yang telah sekian lama tercemar.
-Terjemahan oleh Zainal Abidin Nor, siaran FMT
0 Response to ""By Election Atau Buy Election""
Post a Comment