Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Encik Sanusi Md Noor dalam satu majlis ceramah mengkritik pihak pembangkang di Kedah kerana gagal dalam pengurusan aktiviti pembangkang. Contohnya dalam menulis memorandum bantahan dan menganjurkan demonstrasi.
“Saya sedia beri tution percuma kepada pihak pembangkang, macam mana nak jadi pembangkang,” ujar beliau sinis. Sanusi berucap merujuk kepada isu perhimpunan haram dan penyerahan memorandum oleh BN Kedah terhadap isu air dan perumahan; dalam dua peristiwa dalam waktu yang berbeza di Wisma Darul Aman.
Dua tahun BN jadi pembangkang tetapi nampaknya agenda mereka masih kabur dan jika mereka dinilai melalui KPI, maka BN ternyata masih gagal sebagai pembangkang di Kedah.
Setiausaha Politik Menteri Besar hanya menyindir untuk memberi tution percuma kepada pembangkang tetapi lebih baik rasanya saya mendahului beliau memberi beberapa panduan berguna kepada BN, khususnya Umno di Kedah, untuk bertindak sebagai pembangkang yang berkesan. Ikhlas dan percuma juga.
Pertama, sebagai pembangkang pemilihan sesuatu isu mestilah betul. Dari aspek mana isu itu dieksploit juga mesti tepat. Jika silap menangani isu, BN hanya akan dilihat sebagai badut pentas bukan pembela rakyat. Bukan semua isu yang menjadi kemarahan rakyat menjadi peluang kepada BN untuk menangguk di air keruh. Silap haribulan ia akan jadi senjata makan tuan. Misalnya Umno beriya-iya sangat membela penghuni rumah kos rendah di Taman Wira Mergong membantah langkah kerajaan negeri memindah tugas mengutip tunggakan sewa beli kepada institusi kewangan.
Dalam isu ini hanya segelintir penduduk terbabit yang menganggap Umno adalah pembela mereka walhal seluruh rakyat negeri Kedah mengutuk tindakan mereka. Tindakan Umno dilihat sebagai menggalak rakyat tidak bayar hutang perumahan sedangkan ramai lagi rakyat yang mengidam rumah kos rendah. Maknanya dalam isu tersebut Umno tidak muncul sebagai juara, sebaliknya dilihat sebagai samseng dan pengkhianat kepada 23 ribu pemohon-pemohon rumah kos rendah di Kedah.
Kedua, BN kena serius dalam menganjurkan perhimpunan haram. Dalam dua siri perhimpunan haram anjuran mereka kehadiran peserta perhimpunan tidak melebihi 50 orang. Kumpullah sehingga kehadirannya beribu-ribu. Biar polis datang suraikan dengan gas pemedih mata dan air kimia. Biar ada yang benjol kepala diketuk belantan atau yang bergari dibawa naik ke trak polis. Rasanya itu bukan pilihan BN atau Umno. Jadi kalau tidak mahu tanggung risiko atau melanggar undang-undang negara, maka lebih baik tidak payah anjur perhimpunan. Setakat 50 orang terkinja-kinja macam beruk kena belacan mengangkat sepanduk mengutuk kerajaan, maka lebih baik tidak buat langsung. Dengan tidak mengadakan langsung demonstasi maka ketidakseriusan mereka menangani isu dapat disembunyikan.
Ketiga, dalam apa-apa bantahan pun biarlah pihak yang terbabit dilibatkan secara langsung. Misalnya dalam isu tunggakan sewa perumahan kos rendah di Taman Wira Mergong, biar orang miskin menjadi benteng paling hadapan menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri. Apa yang berlaku ialah mereka yang tiada kena mengena memimpin bantahan. Antaranya ialah orang luar, kontraktor yang kaya raya dan orang yang beristeri dua. Masakan mereka mampu memiliki dua isteri sedangkan menyewa rumah hanya RM100 sebulan tidak mampu. Penyertaan mereka hanya akan menjadi bahan gelak ketawa orang ramai kerana orang ramai tahu siapa mereka.
Begitu juga dalam isu air, sebaik-baiknya undanglah mereka yang datang dari kawasan yang mengalami masalah bekalan air untuk membuat bantahan. Bukannya ketua-ketua Pemuda BN yang di tepi rumah mereka terdapat kolam renang, air pancut dan langsung tiada masalah air.
Keempat, dalam menyediakan memorandum BN mestilah membuat kajian dengan mendalam terlebih dahulu. Menulis memorandum bukan macam tulis surat layang yang tidak bertuan. Orang tahu pihak yang mengusul memorandum. Jadi tahap kecerdikan dan pengetahuan am mereka akan diukur berasaskan isi memorandum tersebut.
Misalnya dalam memorandum berhubung isu (apa yang disifatkan sebagai) kelemahan kerajaan negeri mengurus bekalan air banyak fakta-fakta merapu terdapat di dalamnya. Antaranya ialah kononnya kerajaan menaikkan harga air. Ia tidak berlaku. Kononnya juga Syarikat Air Darul Aman (SADA) adalah syarikat swasta walhal ia adalah syarikat milik kerajaan yang dikorporatkan dari Jabatan Bekalan Air Kedah. Juga disebut bekalan air di Kulim High Tech Park sering terjejas sehingga kerugian mencecah RM53 juta. Apa yang berlaku hanya beberapa kes terpencil keputusan bekalan air bukannya ‘sering terjejas’ seperti ditohmahkan dan angka RM53 juta mungkin mereka dapatkan di dalam mimpi kerana jumlah sebenar tidak sebesar itu.
Kelima, dalam apa-apa isu sekalipun pihak pembangkang perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu dari kerajaan barulah isu bangkangan mereka tidak ketinggalan zaman. Misalnya mereka mendakwa kerajaan negeri langsung tidak buat apa-apa dalam mengatasi masalah air, sedangkan kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan telah turun ke setiap daerah menyampaikan taklimat lengkap berhubung isu air. Antara langkah terdekat mengatasi masalah air ialah pembinaan tiga buah logi baru di Kedah iaitu di Lubuk Buntar, Jeniang dan Padang Sanai, penggantian paip-paip air yang usang yang dibina di zaman BN, pembinaan rumah pam di Caruk Nau, Sungai Tok Pawang dan Kodiang. Ia cuma mengambil masa beberapa bulan lagi untuk siap dan menyelesaikan sebahagian besar masalah air di Kedah. Bila rakyat tahu bahawa kerajaan sedang melakukan sesuatu tetapi pembangkang terus menjaja kononnya kerajaan tidak buat apa-apa maka akhirnya terserlahlah kelemahan pembangkang. Rakyat tahu pembangkang ketinggalan zaman. Akhirnya nanti rakyat akan tahu bahawa pembangkang tiada maklumat dan bercakap hanya berlandaskan hawa nafsu bukannya fakta atau reality.
0 Response to "‘Tution percuma’ untuk pembangkang di Kedah"
Post a Comment