Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi pengimbang?


Maka spekulasi demi spekulasi timbul tentang calon Menteri Besar Selangor ekoran  pencapaian cemerlang dalam PRU 13 ini. Walaupun akhbar lidah rasmi kerajaan cuba membuat teori melagakan calon-calon MB Selangor sama seperti 2008 lalu, PR perlu bijak dalam mengatasi isu ini ke arah meneruskan kecemerlangan pentadbiran sebagaimana yang diikat di dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini.

Maka, saya yang merupakan pengundi dari saluran tiga ingin mencadangkan agar pimpinan PR mengambil pandangan berikut dalam menentukan calon Menteri Besar Selangor yang baru yang bukan sahaja diterima oleh pihak istana tetapi rakyat jelata.

Pilihan 1

Berdasarkan jumlah Ahli Dewan Negeri  mengikut parti iaitu DAP(15), PAS(15) dan PKR(14), maka DAP juga mempunyai peluang dilantik sebagai calon Menteri Besar. Namun berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, impian DAP tidak akan tercapai kerana mensyaratkan seorang Menteri Besar hendaklah dalam kalangan orang Melayu dan Islam. Apa yang boleh dibuat DAP ialah mencalonkan proksi dalam kalangan Ahli Dewan Negeri PAS dan PKR yang mesra DAP kerana tiadanya calon Melayu Islam dalam kalangan parti mereka. Sudah pasti yang dicadangkan adalah Tan Sri Khalid Ibrahim melihatkan kepada prestasi beliau dalam penggal lalu khususnya dalam menguruskan ekonomi yang dipuji oleh masyarakat Cina.

Pilihan 2

PAS juga berhak dan berpeluang mencalonkan Menteri Besar Selangor di bawah payung mereka kerana jumlah Ahli Dewan Negeri yang lebih ramai berbanding PKR. Lebih dari itu, ini peluang bagi PAS menunjukkan wibawa dan prestasi mereka dalam menjunjung panji Islam. Bekas EXCO agama yang lalu sendiri pernah mengeluh bahawa satu tangannya terikat dalam melaksanakan dasar Islam kerana mereka menjadi minoriti dalam barisan EXCO lalu.

Komuniti Islam juga ingin melihat bagaimanakah langkah dan dasar yang akan mereka buat dalam pelaksanaan hukum hudud misalnya bila mana rakan sekutu mereka menolak perkara ini berdasarkan komposisi kaum yang unik di negeri ini. Berjayakah mereka dalam perkara ini atau sekurang-kutangnya dapat diwujudkan dalam bentuk enakmen walaupun implikasi undang-undangnya sama seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila digagalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Melihat kepada program ilmu yang subur dalam penggal lalu, rakyat menaruh keyakinan tinggi tentang apa lagi pengisian rohani yang mereka dambakan boleh di hidangkan oleh PAS. Seperti kata-kata Tan Sri Muhammad Taib ”Selangor telah mencapai negeri maju, pembangunan hebat dan pesat tetapi pengisian roh yang perlu diutamakan agar gejala sosial akan tuntas”. Ini merupakan satu pandangan dan cabaran yang perlu disambut oleh pimpinan PAS. Sudah tentu bebanan dan harapan ini akan lebih mudah apabila tampuk kuasa dimiliki oleh mereka berdindingkan integriti yang kukuh di kalangan Ahli Dewan Negeri mereka.

Antara calon yang layak dipertimbangkan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman, Ahli Dewan Negeri Cempaka, Iskandar Abdul Samad  dan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan bekas EXCO lalu.

Pilihan 3

Walaupun PKR kekurangan 1 kerusi berbanding DAP dan PAS, PKR juga berpeluang mencalonkan Menteri Besar Selangor yang baru. Ia akan menjadi pengimbang kuasa antara DAP dan PAS. Malah pilihan ketiga ini lebih idealistik walaupun mungkin mereka terpaksa mengorbankan kuota EXCO untuk PKR.

Rakyat tentu melihat prestasi penggal lalu sebagai ukuran. Melihat kebijaksanaan Menteri Besar lalu dalam mengurus ekonomi menjadi indikator kepada masyarakat. Malah Menteri Besar yang lalu juga telah menyatakan agar memberi peluang lima tahun lagi untuk beliau menyelesaikan isu air dengan mewujudkan saham air untuk rakyat menggunakan model beliau semasa menguruskan Permodalan Nasional Berhad yang memperkenalkan Amanah Saham Bumiputera.

Dalam kalangan Ahli Dewan Negeri PKR, sudah tentu calon kuat Menteri Besar penggal ini ialah Tan Sri Khalid Ibrahim yang dilihat dapat mengimbangi dua rakan sekutu. Beliau juga diterima istana dan rakyat jelata. Namun peluang Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa juga ada selaku Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, Azmin Ali jangan dipinggirkan

Kesimpulan
Maka, pilihan ketiga didapati lebih baik, selesa  dan rasionalistik. Berdasarkan 10  peruntukkan EXCO mengikut komposisi parti juga, DAP akan mendapat 4, PAS   (4) dan PKR (2) mengambil contoh kouta penggal lalu PKR (4), DAP(3) dan PAS (3).

Jika Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar, maka Azmin Ali perlu dilantik sebagai EXCO Kanan. Atas dasar setiakawan, DAP dan PAS mungkin boleh menggorbankan 1 kuota EXCO kepada rakan sekutu PKR.

Sebagai imbalannya, DAP dicadang terus diberi jawatan Spekaer Dewan Negeri dan calon yang sesuai ialah Speaker penggal lalu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang iaitu Ahli Dewan Negeri Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim. PAS pula diberikan jawatan Timbalan Speaker dan calon yang amat sesuai ialah Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Sdr Mohamad Khairuddin Othman yang juga pengamal undang-undang.

Mengambil semangat perbahasan Dewan (“Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan”) maka ”Rakyat Selangor yang berjiwa besar dan idealistik, saya mohon mencadangkan pilihan ketiga jadi keutamaan.”

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi pengimbang?"

Post a Comment

Close