Husam mampu memberi kebaikan kepada penduduk, kata bekas Menteri Besar Selangor itu.
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yakin kerusi parlimen Putrajaya akan bertukar tangan kepada PAS dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei depan.
Muhammad berkata, ini berdasarkan keyakinannya kepada kredibiliti calon PAS,Datuk Husam Musa berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Husam mampu memberi kebaikan kepada penduduk.
“Saya pernah jumpa dia sebelum ini. Dia ada kriteria seorang pemimpin yang cerdik, warak, dan tegas.
“Tuan-tuan takkan rugi jika pilih beliau selaku ahli Parlimen Putrajaya,” katanya dihadapan kira-kira 5,000 penduduk Putrajaya di padang Persint 9 di sini malam semalam.
Walaupun hujan sejak petang dan rumput basah, namun perkara itu tidak menghalang semangat penduduk yang majoritinya kakitangan awam hadir mendengar ceramah Husam dan Muhammad serta bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan Dr Zayadi Awang Noh.
Muhammad juga mahu penduduk Putrajaya memberikan peluang kepada Naib Presiden PAS itu mendapat mandat dengan menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.
Husam pemimpin baik
Katanya, jika Putrajaya dikuasai PAS melalui kepimpinan Husam, maka masyarakat Putrajaya akan dapat seorang pemimpin yang baik.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, antara ciri pemimpin yang baik adalah pemimpin yang kuat berpegang kepada ajaran agama.
Katanya, melalui pemimpin sedemikian ciri-ciri budaya Islam dapat disuburkan dan berharap Putrajaya mampu menjadi bandar pusat perkembangan syiar Islam.
“Kalau dalam Umno kita tengok ramai orang kaya yang dipilih memimpin tapi orang yang rapat dengan masjid tak banyak,” katanya.
Menyatakan sokongan secara terbuka kepada Husam, beliau juga yakin PAS kini sudah berubah dan terbuka untuk semua masyarakat negara ini.
“PAS sekarang mempunyai ahli cerdik-cerdik, PAS boleh buat lebih baik, biar PAS pula yang memerintah negara,” katanya.
Berjalan satu kilometer
Berjalan satu kilometer
Ceramah PAS malam tadi turut memecah persepsi ketakutan dalam kalangan kakitangan awam di Putrajaya daripada menghadiri majlis anjuran pembangkang Pakatan Rakyat.
Sesak dibanjiri dengan orang ramai dan kereta yang diletakkan di sepanjang bahu jalan disekitar Persint 9, orang ramai juga dilihat tidak kisah untuk berjalan sejauh kira-kira satu kilometer ke tempat ceramah malah masih ada yang berpakaian pejabat datang mendengar ucapan bekas pemimpin veteran Umno dan pemimpin PAS.
Sementara itu, Husam dalam ucapannya yakin dapat menembusi kubu kuat BN jika sokongan dapat menerima jumlah sokongan rakyat yang hadir seperti malam tadi secara berterusan.
Selain mengulangi manifestonya kepada pengundi, Husam turut berharap dapat bersaing secara adil dan sihat dengan ‘rakan tomoi’nya, Ku Nan.
Beliau turut mengumumkan satu majlis yang akan diadakan di Putrajaya bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada Jumaat 26 April nanti dengan perasmian penubuhan empat lagi cawangan PAS Putrajaya, selain pengumuman kemasukan pemimpin Umno menyertai PAS.
Putrajaya mempunyai 15,798 pengundi berdaftar, peningkatan lebih 100 peratus berbanding PRU 12 yang hanya ada 6,608 orang pengundi sahaja.
0 Response to "Bila Mike Tyson Mula Pegang Mic....."
Post a Comment