Husam fail semula kes saman terhadap “Papagomo”


KOTA BHARU: Memandangkan ada penemuan bukti baru kes saman Datuk Husam Musa terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris menyebabkan hakim menasihatkan kes itu difail semula.

Oleh itu bagi membolehkan kes tersebut difail semula, kes yang berjalan hari ini ditarik balik.

Berikutan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS melalui peguamnya, Hisham Fauzi menyatakan persetujuan di atas cadangan hakim pada perbicaraan itu kes petang tadi.

Beliau pada keterangan sebagai saksi pertama kes itu memberitahu mahkamah beberapa saksi baru ditampilkan termasuk bekas isteri Wan Azri dan dua blogger pro Umno yang disapina.


Selain itu katanya, blogger-blogger lain juga telah menyatakan persetujuan menjadi saksi kes berkenaan.

Menurutnya juga gambar Wan Azri yang dianggap sebagai Papagomo banyak tersiar dalam laman-laman web dan dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

Ekoran itu peguam Jasbeer Singh yang mewakili Wan Azri turut meluahkan rasa kesal kerana akhbar terbabit mengaitkan penama terbabit sebagai Papagomo.

“Gambar-gambar yang disiarkan dalam internet dan terbaru dalam blog Erapasca memperlihatkan gambar Wan Azri bersama dengan Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien,” kata Husam.

Bagaimanapun ketika soal balas peguam defendan membantah kerana beberapa saksi baru dikemukakan termasuk bekas isteri Wan Azri, yang disenarai sebagai saksi kedua.

Berikutan itu Hisham berkata, perbincangan di antara peguam plaintif dan defendan diadakan di dalam kamar berkaitan isu saksi baru yang disenaraikan.

Katanya, pada perbincangan itu hakim menasihatkan kes tersebut ditarik balik bagi membolehkan ia difail semula dengan penambahan saksi-saksi baru.

Husam ketika ditemui kemudian berkata, beberapa bukti baru ditemui selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman terhadap Wan Azri baru-baru ini.

“Lagi pun kita juga boleh menampilkan saksi iaitu Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia memandangkan mahkamah menolak untuk disapinakan Menteri Pertahanan berkaitan isu blogger terbabit dibenarkan memasuki Scorpene.

“Malah bekas isteri Wan Azri sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi saksi pada Disember lalu. Sedangkan pada senarai awal namanya tidak disebut sebagai saksi dalam pengurusan kes sebelum ini,” katanya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, fail baru kes saman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Harakah.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Husam fail semula kes saman terhadap “Papagomo”"

Post a Comment

Close